View My Stats

Wednesday, 17 April 2013

Pendakian Gunung Datuk, Rembau, Negeri Sembilan


PROGRAM PENDAKIAN GUNUNG DATUK
REMBAU, NEGERI SEMBILAN 
13-14 MEI 2011 (JUMAAT DAN SABTU) 

Unit Kembara Alam, Kelab Kebajikan dan Sukan AADK telah mengadakan program pendakian Gunung Datuk, Rembau, Negeri Sembilan. Program ini telah diadakan pada 13 Mei 2011 (Jumaat) hingga 14 Mei 2011 (Sabtu). Seramai 15 orang pendaki AADK (10 peserta lelaki dan 5 peserta wanita) telah mengikuti program ini. 

Objektif program ialah untuk membentuk jati diri yang padu di kalangan pegawai dan kakitangan AADK. Program ini juga memberi penekanan bekerja dalam satu pasukan dan tabah dalam menghadapi cabaran serta rintangan untuk sampai ke puncak kejayaan. 

Gunung Datuk terletak di daerah Rembau, Negeri Sembilan. Gunung ini mempunyai ketinggian 2700 kaki @ 855 meter dari aras laut. Tempat ini sering dikunjungi oleh orang ramai pada hujung minggu untuk beriadah bersama keluarga kerana terdapat aliran air terjun di kaki gunung ini.

Dalam perjalanan ke Gunung Datuk, semua peserta melaporkan diri di Balai Polis Kota, Rembau, Negeri Sembilan dengan meninggalkan nama dan nombor telefon. Pendakian MALAM Gunung Datuk bermula jam 10.30 malam selepas membuat pendaftaran dengan Pusat Rekreasi Gunung Datuk. Selepas taklimat ringkas dan bacaan doa pendaki memulakan pendakian yang diketuai oleh En. Mohd Azahar Bin Abd. Razak. 

Semua pendaki mempunyai kelengkapan Head Lamp dan lampu suluh yang baik bagi mengharungi pendakian malam yang gelap dan kelam. Cuaca yang baik pada hari pendakian dengan cahaya bulan menyinari trek pendakian, menjadikan suasana pendakian terasa damai dan mempersonakan. Yang bestnya bila mendaki di waktu malam ialah pendaki tidak nampak trek yang mencanak di hadapan kerana gelap, jadi dari segi mental mereka ok kerana mendaki naik tanpa nampak trek yang mencanak tu....

Dari pemerhatian, semua pendaki AADK mempunyai semangat dan kerjasama berpasukan yang amat padu dalam mengharungi trek pendakian yang gelap dan kelam. Jika ada peserta yang keletihan, semua ahli pendaki memberi dorongan dan sokongan sesama sendiri. 

Hasilnya semua peserta dapat menamatkan pendakian dalam masa 2 jam 45 minit dengan jarak pendakian lebih kurang 2.5 km pendakian naik ke puncak dan sampai pada jam 1.45 pagi. Satu pencapaian yang amat cemerlang dan membanggakan dari semua pendaki AADK. 

Sampai di Puncak Gunung Datuk, semua peserta tidur secara terbuka dengan permandangan langit yang terbentang luas. Ditemani oleh bintang yang cantik berkerlipan dan cahaya bulan yang lembut menyentuh bumi, suasananya amat tenang dan mempersonakan pada malam tersebut. Terasa betapa kerdilnya diri ini bila melihat keindahan ciptaan Yang Maha Esa. 

Jam 6.30 pagi, selepas bersarapan ringkas, semua peserta bersiap sedia mendaki ke Puncak Gunung Datuk untuk melihat matahari terbit. Pendaki-pendaki terpaksa menempuh 2 halangan pendakian menggunakan tangga besi dengan trek pendakian 90 darjah. Dengan semangat jitu, semua pendaki dapat mengatasi halangan mendaki tangga besi dan sampai ke puncak Gunung Datuk dengan selamat. 

Di atas puncak, pendaki dapat melihat Bandar Seremban dan Selat Melaka dengan jelas jika cuaca baik. Pendaki juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan tapak kaki Laksamana Hang Tuah yang terdapat di Puncak Gunung Datuk. 

Jam 9.00 pagi semua pendaki memulakan pendakian turun dari Puncak Gunung Datuk. Tahap stamina dikalangan pendaki amat tinggi dimana mereka dapat menamatkan pendakian turun hanya dalam masa 1 jam 30 minit dengan jarak 2.5 pendakian turun 

Sesungguhnya terasa amat bangga dengan komitmen dan kerjasama dari semua pendaki kerana dapat mengikuti program ini dengan baik dan cemerlang. SYABAS….  





Dipercayai tapak kaki Hang Tuah di puncak Gunung Datuk




No comments:

Post a Comment