View My Stats

Monday, 22 April 2013

Pendakian Gunung Putih, Cheras, Selangor


PROGRAM PENDAKIAN DAN PERKHEMAHAN 
GUNUNG PUTIH, HULU LANGAT, SELANGOR 
13.1.2012 (JUMAAT) – 14.1.2012 (AHAD) 

Sebagai pembuka tirai tahun 2012, Unit Kembara Alam, Kelab Kebajikan dan Sukan AADK telah mengadakan program Pendakian dan Perkhemahan di Gunung Putih, Hulu Langat Selangor. 

Program ini telah diadakan pada 13.1.2012 (Jumaat) hingga 14.1.2012 (Sabtu). Seramai 22 orang peserta (14 peserta lelaki, 8 peserta wanita) telah mengambil bahagian dalam program ini. Program pendakian ini semakin mendapat sambutan di kalangan Pegawai dan kakitangan AADK kerana ianya merupakan aktiviti yang baik untuk kesihatan. Program ini juga menguji kekuatan mental dan fizikal peserta untuk menawan puncak sesuatu gunung yang penuh dengan cabaran dan halangan. 

Gunung Putih juga dikenali sebagai Bukit Ahpek atau Bukit Saga. Gunung ini terletak di batu 8, Hulu Langat, Selangor. Ketinggian gunung Putih adalah 1,700 kaki (581 meter) dari aras laut. Gunung ini boleh didaki dari Taman Segar Perdana, Cheras dan dari Taman Saga, Ampang. 

Trek pendakian gunung Putih adalah amat sesuai untuk beginner hikes kerana keadaan trek pendakian tidak terlalu tinggi dan agak landai. Pada hujung minggu, ramai orang yang datang untuk mendaki gunung ini sebagai aktiviti riadah dan rekreasi. Persekitaran gunung yang merupakan hutan simpan Hulu Langat dan aliran air terjun dari gunung ini mengallir terus ke empangan Hulu Langat, Selangor sebagai kawasan tadahan air. 

Semua peserta bertolak ke gunung Putih pada jam 6.30 petang dan singgah untuk makan dan sembahyang. Sebelum sampai di kaki gunung Putih, peserta singgah untuk membeli barang kelengkapan dan keperluan di Ecosave Taman Segar Perdana. Ada peserta yang membeli seluar, ada yang membeli kasut mendaki dan ada juga yang membeli roti dan sebagainya untuk tujuan pendakian. 

Peserta selamat tiba di kaki gunung Putih pada jam 9.30 malam. Taklimat ringkas pendakian malam diadakan dan sebelum mendaki pada waktu malam bacaan doa selamat diadakan yang diketuai oleh Sarjan Ismail. Semua peserta membuat pemeriksaan terakhir untuk pendakian pada waktu malam seperti head lamp, pakaian mendaki yang bersesuaian, khemah dan sebagainya.  

Tepat jam 9.50 malam, pendakian malam bermula dari kaki Gunung Putih. Pendaki akan melalui trek yang sedikit mencanak dan agak landai untuk ke checkpoint (CP) 1. Pendaki seterusnya membuat pendakian untuk ke CP2 dan berehat untuk seketika. Cuaca yang begitu baik pada malam pendakian dengan disinari cahaya bulan yang masuk menerusi rimbunan pohon begitu mengasyikan dan mendamaikan. Angin yang bertiup perlahan menambahkan lagi suasana segar kepada semua pendaki. Betapa besarnya kuasa Yang Maha Esa mencipta keindahan ini. 

Dari CP2 pendaki terpaksa mendaki trek yang agak mencanak dan sedikit landai. Terdapat seorang pedaki yang mengalami kekejangan otot, tetapi dengan bantuan dari pedaki lain, peserta tersebut akhirnya dapat menyambung pendakian. Tepat jam 11.50 malam semua pendaki selamat sampai di puncak 2, Gunung Putih. 

Dari puncak 2, pendaki dapat melihat keindahan bandaraya Kuala Lumpur yang dilimpahi cahaya lampu. Sungguh cantik sekali permandangan bandaraya Kuala Lumpur yang terpampang luas dari puncak 2, Gunung Putih. Selepas menikmati permandangan bandaraya Kuala Lumpur, pendakian ke campsite diteruskan. 

Perjalanan dari Puncak 2 Gunung Putih ke campsite agak landai dan pendaki terpaksa melakukan pendakian turun untuk ke campsite. Tepat jam 12.20 malam semua peserta selamat tiba di campsite Gunung Putih iaitu kira-kira 2 jam 30 minit pendakian malam. Kawasan campsite adalah bersebelahan dengan air terjun yang cantik dan mendamaikan. Semua peserta bergotong royong untuk memasang khemah dan ada peserta yang mula memasak air untuk minum malam. 

Selepas minum malam, semua peserta tidur dan berehat untuk mengembalikan tenaga. Betapa damainya dapat tidur dan berehat dengan ditemani bunyi deruan air terjun yang bersebelahan dengan campsite, begitu tenang dan mengasyikan sekali. 

Hari Kedua, 14.1.2012 (Sabtu), semua peserta bangun seawal jam 6.30 pagi untuk sembahyang subuh. Selepas itu semua pendaki bergotong royong untuk menyediakan sarapan. Semangat kerjasama di antara mereka amat tinggi dan terpuji. 

Tanpa dipaksa mereka melakukan tugas dengan sukarela dan saling tolong menolong antara satu sama lain dalam menjalankan tugas yang diberikan seperti memasak air, membuat air minuman, menyediakan sarapan dan sebagainya. Selepas sarapan semua pendaki mandi air terjun yang sejuk dan segar. Air yang begitu jernih dan bersih dan terdapat banyak udang yang hidup dikawasan air terjun tersebut.

Selepas mandi dan bersarapan, semua pendaki mula mengemas barang kelengkapan untuk pendakian keluar dari gunung Putih. Jam 10.00 pagi semua pendaki memulakan pendakian keluar dengan mendaki trek yang agak mencanak. Tiba di puncak 2, pendakian turun agak sedikit mudah kerana keadaan trek yang landai.. Di CP3, pendaki dapat berehat dan menenangkan fikiran di atas buaian yang terdapat di check point tersebut.

Dari CP3, pendaki akan turun di CP1. Terdapat pokok petai dikawasan tersebut dan pendaki dapat megutip buah petai yang gugur dari pokok itu. Dari CP1, pendaki seterusnya menyusuri trek pendakian untuk keluar dari Gunung Putih. Semua peserta selamat tiba di kaki Gunung Putih pada jam 1.00 petang iaitu kira-kira 3 jam pendakian turun sambil bersantai.

Dari pemerhatian, program ini telah berjaya menanam sifat tolong-menolong antara satu sama lain dalam menghadapai cabaran untuk menawan puncak. Mereka juga mempunyai semangat espirit de corp yang tinggi dan saling memberi kata-kata semangat antara satu sama lain untuk menawan puncak kejayaan. Amat bangga melihat ketabahan mereka mengharungi pendakian pada waktu malam dan berjaya menamatkan program dengan jayanya…..SYABAS SEMUA. 





No comments:

Post a Comment