Unit
Kembara Alam, Kelab Kebajikan dan Sukan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),
telah mengadakan program pendakian Gunung Mat Cincang, Pulau Langkawi, Kedah.
Program ini telah diadakan pada 28.9.2013 (Sabtu) secara daypack (Mendaki naik
dan turun pada hari yang sama)
Perjalanan
dari Langkawi Baron Hotel ke Telaga Tujuh (starting point) memakan masa selama
30 minit. Kebetulan pada hari pendakian terdapat acara Langkawi Mountainbike International
sedang berlangsung disepanjang laluan menuju ke Telaga Tujuh. Pelbagai negara
yang mengambil bahagian dalam acara tersebut dan ianya merupakan kejohanan
tahunan yang diadakan di Pulau Langkawi.
Gunung
Mat Cincang mempunyai ketinggian 2,339 kaki atau 713 meter dari paras laut.
Ianya merupakan banjaran gunung yang bersebelahan dengan puncak kereta kabel
Langkawi. Untuk program pada kali ini seramai 6 orang pendaki yang akan
mengambil bahagian dan diketuai (GUIDE) oleh En. Ismail iaitu Penolong Pegawai Antidadah
S27, AADK Daerah Langkawi.
Bermula
dari starting point iaitu Telaga Tujuh pada jam 9.30 pagi, pendaki terpaksa
menaiki anak tangga sejauh 1 km sehingga bertemu dengan air terjun Telaga
Tujuh. Anak tangga tersebut telah dibina oleh pejabat hutan daerah Langkawi
untuk kemudahan orang ramai menikmati panorama alam dan mandi air terjun di Telaga
Tujuh. Keseluruhan pendaki akan menaiki 638 anak tangga untuk tiba ke air
terjun Telaga Tujuh dan akan mengambil masa 20 hingga 30 minit.
Sampai
saja di anak tangga terakhir, pendaki akan berjumpa dengan air terjun Telaga
tujuh. Dinamakan Telaga
Tujuh kerana air terjun terbentuk daripada pecahan tujuh telaga semulajadi. Menurut legenda, tersebutlah cerita dewi-dewi
yang gemar turun mandi-manda di Telaga Tujuh pada awal-awal pagi sebelum
manusia menceroboh kolam mereka. Maka nyanyian merdu dan ketawa riang ria dewi-dewi
yang menawan sering kedengaran menyelubung bukit dan hutan. Menurut empunya
cerita barang siapa dapat melihat akan dewi–dewi itu, sesungguhnya diberkati
kekayaan akan dia. Akan tetapi tidak ada seorang pun berjaya melihat akan
makhluk tersebut, hanyalah keharuman bau-bauan serta wangi-wangian akar hutan
yang menandakan akan kehadirannya. (Info daripada Taman Legenda Langkawi).
Permulaan trek pendakian Gunung Mat Cincang selepas menyeberangi air terjun Telaga Tujuh (Boleh nampak dengan jelas trek permulaan)
Sebaik sahaja sampai di Telaga Tujuh, pendaki akan melintasi
air terjun tersebut dan akan memulakan pendakian melalui trek pendakian. Dari
permulaan trek Telaga Tujuh, pendakian agak landai dan dalam masa 15 minit
pendaki akan sampai di check point pertama (CP1) iaitu Kem Saintis. Di
sepanjang trek tersebut pendaki akan melalui aliran air terjun yang segar dan
cantik di sepanjang pendakian. Terdapat tanda atau marking di sepanjang trek pendakian dan trek pendakian nampak dengan terang dan jelas.
Dari CP1 Kem Saintis, trek pendakian masih lagi landai dan
agak sedikit meninggi. Dalam masa 15 minit pendaki akan sampai di check point
kedua (CP2) iaitu Kem Mat Pauh. Semasa sampai di kem Mat Pauh, papan tanda
check point tersebut agak terlindung kerana banyak pokok tumbang di sekitar kawasan
tersebut.
Seterusnya dari CP2 kem Mat Pauh, trek pendakian mula sedikit
meninggi. Terdapat anak tangga dan jambatan yang dibina disepanjang trek bagi
memudahkan pendaki. 30 minit pendakian, pendakian akan berjumpa pula dengan CP3
iaitu Kem Tok Ayah. Disetiap check point, pejabat hutan telah membina wakaf
untuk pendaki berehat sebelum meneruskan pendakian.
Dari CP3
Kem Tok Ayah, pendakian di teruskan ke CP seterusnya iaitu Puncak Telaga Tujuh.
Trek pendakian mula mencanak hingga mencapai 50 hingga 60 darjah kecerunan.
Dalam masa 45 minit, pendaki akan tiba di CP4 iaitu puncak telaga tujuh.
Dipercayai pada masa dahulu sumber air terjun Telaga Tujuh berpunca dari puncak
ini, Namum kini punca sumber air tersebut telah tiada dan yang tinggal hanyalah
kesan aliran air di kawasan itu.
dari CP4 Puncak Telaga Tujuh, terdapat papan tanda amaran iaitu untuk turun balik atau meneruskan pendakian ke puncak Gunung Mat Cincang. Ini kerana untuk meneruskan pendakian, pendaki hendaklah dipandu arah oleh GUIDE yang berpengalaman dan tahu seelok belok trek pendakian hingga ke puncak.
Bermula dari CP4 Puncak Telaga Tujuh hingga ke puncak gunung Mat Cincang, trek pendakian mula meninggi dan mencanak hingga mencapai 70 hingga 80 darjah kecerunan. Pendaki perlu berhati-hati dan mendaki dengan perlahan kerana disepanjang trek pendakian terdapat batu yang basah dan licin. Pendaki perlu melihat batu yang hendak di pijak kerana jika tersalah pijak akan menggelonsor jatuh kerana batunya yang amat licin. Terdapat tali yang dipasang untuk menyokong pendakian semasa mendaki di atas trek batu yang licin tadi.
Akhirnya
setelah mendaki selama 1 jam 15 minit dari CP4 puncak Telaga Tujuh, kami
selamat tiba di puncak Gunung Mat Cincang pada jam 1.00 petang iaitu kira-kira
3 jam setengah pendakian. Puncak gunung ini tidaklah luas, hanya boleh
memuatkan lebih kurang 3 buah khemah sahaja. Dari puncak gunung Mat Cincang
ini, pendaki dapat melihat permandangan pulau Langkawi sejauh mata memandang.
Puncak kereta kabel Pulau Langkawi dapat dilihat dengan jelas dari puncak ini.
Setelah
berehat dan bergambar kenang-kenangan, pendakian turun dari puncak bermula pada
jam 1.15 petang. Kami semua selamat tiba di kaki anak tangga terakhir Telaga
Tujuh pada jam 3.15 petang iaitu kira-kira 2 jam pendakian turun. Kami sempat singgah mandi air terjun Telaga Tujuh. Selepas kemas
diri, kami singgah makan rojak di tepi pantai berdekatan dengan kawasan Telaga
Tujuh tersebut.
Sesungguhnya
untuk mendaki gunung Mat Cincang, pendaki perlu mendaki dengan penuh
berhati-hati disebabkan trek pendakian yang berbatu dan licin terutamanya
apabila hendak sampai di puncak. Jika tersalah pijak batu semasa mendaki, boleh
mengakibatkan pendaki tersebut tercedera kerana akan jatuh menggelonsor ke
dalam gaung. Sesungguhnya satu kepuasan kerana dapat menawan puncak gunung ini
dengan pendakian sejauh 12 Km pergi dan balik, kerana pendaki terpaksa menempuh
pelbagai halangan dan cabaran untuk sampai ke puncak kejayaan. Syabas kepada
semua….jumpa lagi dalam program pendakian akan datang…..
No comments:
Post a Comment