View My Stats

Thursday 27 June 2013

Jalan-Jalan ke Vietnam

Rehat jap sambil jalan-jalan ke Ho Chi Minh City, Vietnam 
27.6.2013 (khamis) - 30.6.2013 (ahad)
Nanti saya update pengalaman untuk perkongsian bersama

Wednesday 26 June 2013

Apakah itu Jerebu

Jerebu melanda lagi...

Jerebu merupakan fenomena atmosfera yang berlaku apabila debu, asap dan zarah pencemaran lain mengaburi kejelasan langit.Fenomena ini biasanya terjadi jika zarah, debu dan asap berkumpul pada hari yang kering. 

Zarah-zarah kecil ini berkumpul di paras rendah atmosfera dan akan mengaburi pandangan dan mungkin menyebabkan masalah pernafasan. Jerebu tebal juga dikenali sebagai asbutAntara sumber utama jerebu ialah kebakaran hutan, kebakaran gambut, pembakaran terbuka serta asap perindustrian dan kenderaan.


Indeks Pencemaran Udara (IPU) merupakan salah satu cara untuk mengetahui tahap teruknya jerebu. Ia melibatkan pengukuran kuantiti zarah halus merbahaya seperti karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon.

Jerebu boleh menyebabkan masalah kesihatan terutamanya kepada:
  • Kanak-kanak.
  • Orang tua
  • Pesakit lelah dan penyakit pernafasan lain
  • Perokok

Antara gejala akibat pendedahan kepada jerebu ialah:
  • Iritasi kerongkong dan batuk-batuk
  • Kesukaran bernafas atau hidung tersumbat
  • Iritasi di mata serta mata yang merah
  • Kulit terasa gatal


Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengelak masalah-masalah di atas ialah:
  • Jangan keluar rumah serta tutup semua pintu dan tingkap
  • Pakai topeng muka yang mempunyai penuras jika terpaksa keluar
  • Kurangkan pengunaan kenderaan terutama motosikal
  • Sentiasa basuh bahagian yang terdedah; mandi
  • Selalu minum air
  • Sediakan ubat jika anda mempunyai penyakit pernafasan

Tuesday 25 June 2013

Cadat Sotong Perdana Warga AADK 2013

Sumbangan : En. Maswadi Idris dan En. Hafiz Bin Hassan (AADK Daerah Kuala Terengganu)

CANDAT PERDANA WARGA AADK 2013

Sewal jam 11.00 malam 13 Jun 2013, AADK Daerah Kuala Terengganu berbesar hati menerima kehadiran para peserta Program Candat Sotong Perdana Warga AADK di Penginapan Atikah, Batu Buruk, Terengganu. Keselesaan menjadi kepentingan dalam memastikan warga dapat bermalam dan berehat secukupnya bagi mengembalikan tenaga dalam menjayakan misi kali ini. Penginapan ini ditaja sepenuhnya oleh Tn Hj Mohd Noor, salah seorang ahli JKPD yang aktif disini.

Keesokkannya, majlis pendaftaran berlangsung sedari jam 9.00 pagi dan program kali ini berjaya menarik penyertaan seramai 50 orang warga yang terdiri daripada 03 orang peserta dari Ibu Pejabat AADK Malaysia, 09 orang peserta dari CnC Tampoi, 10 orang peserta dari CnC Karangan, 06 orang peserta dari AADK Rompin, 08 orang peserta dari CCRC Raub, 05 orang peserta CnC Jerantut dan 05 orang dari pihak tuan rumah. Warga juga disajikan dengan makanan terkenal Negeri Terengganu iaitu Nasi Dagang.

Majlis perasmian dimulakan pada pukul 4.00 petang dan dirasmikan oleh En. Arzmi bin Abdullah selaku Pengerusi Kelab Sukan & Kebajikan AADK Negeri Terengganu. Selepas mengaminkan doa, kami bergerak menuju ke bot mengikut kumpulan masing-masing iaitu Kurita, Torak, Jarum, Mabang dan Ketupat bersempena dengan nama spesis sotong yang ada.

Cuaca yang redup dan baik membuatkan kami lebih bersemangat. Dengan lafaz bismillah, kami menaiki bot dan memulakan perjalanan dengan seribu harapan.  Laut yang tenang pada awalnya membuatkan kami agak selesa, namun dipertegahan, perut mula bergelora. Ada diantara kami yang sudah mula pening dan episod muntah-muntah pun bermula…

Tiba di perairan Pulau Kapas, kami memulakan misi yang ada. Sauh dilabuhkan, peralatan candat dipersiapkan sebaiknya. Candat dilemparkan dengan diiringi doa, semoga mendapat sotong yang banyak. Sedari petang hingga ke malam, kami berusaha tanpa berputus asa. Namun, kuasa Allah mengatasi segalaya. Arus yang terlalu laju menyebabkan batu candat kami timbul dipermukaan.


Ini menyukarkan kami untuk memperolehi sotong. Dengan kudrat yang masih bersisa, kami masih tidak berputus asa. Cubaan demi cubaan akhirnya membuahkan hasil. Ada diantara kami berjaya menaikkan sotong dan ada juga yang berjaya menaikkan Ikan Kaci seberat 3kg. Pada pukul 8 malam, kelihatan bot Mabang sudah mengubah kedudukan. Pergi ke tempat yang dipercayai mempunyai lebih banyak sotong. Manakala peserta-peserta lain sudah mula dibuai mimpi akibat dari keletihan.

Pagi 15 Jun 2013, kami bertolak pulang ke daratan. Walaupun hasil yang diperolehi tidak sepertimana yang diharapkan, kami tetap pulang dengan pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan duit. Cubaan kami kali ini akan kami jadikan pengajaran untuk masa akan datang. Namun, apa yang paling penting, program sebegini mampu mengeratkan kami, warga AADK Malaysia. Dan semoga lebih banyak program sebegini dianjurkan bagi membina kerjasama yang utuh dalam menyatupadukan warga pada masa akan datang.

Monday 24 June 2013

Skuad 1Malaysia AADK Kelantan Tawan Gunung Stong

Ekspedisi Skuad 1Malaysia AADK Kelantan 
menawan  Gunung Stong
Oleh: Mohd Nizam Bin Musa (AADK Negeri Kelantan)

13 Jun 2013 –  Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Skuad 1 Malaysia AADK Kelantan telah melaksanakan Ekspedisi Skuad 1Malaysia AADK Kelantan menawan Gunung Stong Jelawang, Kelantan." Kesukarelaan Bukan Pilihan Ia Satu Tanggungjawab" menjadi tema pendakian kali ini. Gunung ini setinggi 1,422 meter (4,664 kaki) terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Stong berhampiran dengan Air terjun Jelawang. Gunung ini menjadi lokasi popular kepada pendaki gunung kerana sangat mencabar.
                
Ekspedisi pendakian ini telah disertai oleh 20 orang ahli Skuad 1Malaysia AADK Kelantan dan kakitangan AADK Kelantan seramai 65 orang serta 5 orang RELA sebagai guider.Bermula dengan taklimat ringkas mengenai aktiviti pendakian dan keselamatan oleh En Ibrahim Bin Abd Ghani, Pengarah AADK Negeri Kelantan serta dengan bacaan doa dari En. Mohd Asmadi Bin Mat Daud.

Para peserta memulakan pendakian pada jam 10.30 pagi dan tiba Kem BAHA pada jam 12.30 pagi. Pelbagai cabaran dilalui, kepenatan yang dirasai namun terpancar kegembiraan apabila tiba ke puncak Gunung dan menikmati air terjun yang sejuk sambil menikmati makan tengahari berupa nasi bungkus yang dibawa sendiri oleh peserta. 

Aktiviti di Kem BAHA secara keseluruhannya berkisar kepada cabaran berdikari di dalam kawasan hutan. Selain itu, peserta juga telahpun mengikuti aktiviti ‘ team-building ’ yang dikendalikan sepenuhnya oleh En Mohd Zain Bin Mat Ali.Skuad 1Malaysia Machang mengungguli tempat pertama dalam tugasan kerja berkumpulan dan diikuti oleh Skuad 1Malaysia Pasir Mas di tempat kedua manakala CCSC Kemahang di tempat ketiga.Setelah pelbagai aktiviti di laksanakan di Kem BAHA , peserta mulai turun ke bawah pada jam 3.00 petang dimana ianya mengambil masa selama satu jam setengah untuk tiba di kaki gunung Stong.


Program yang disempurnakan perasmian oleh En Ibrahim bin Abd. Ghani, Pengarah AADK Negeri Kelantan ini diharap dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara Skuad 1Malaysia dan kakitangan AADK Kelantan disamping bersama-sama menghargai khazanah alam yang lebih bernilai dari wang ringgit.