View My Stats

Wednesday 5 November 2014

Jalan-Jalan Ke Universal Studio, Singapura

Kelab Kebajikan dan Sukan, Agensi Antidadah Kebangsaan telah mengadakan program Jalan-Jalan ke Universal Studio, Singapura. Program ini telah diadakan pada 18 Oktober 2014 (Sabtu). Seramai 31 orang peserta yang telah menyertai program ini termasuk anak-anak dan keluarga warga kerja Ibu Pejabat AADK. Perbelanjaan untuk menyertai program ini ialah diantara RM300.00 hingga RM500.00 seorang iaitu untuk membeli pakej ke Universal Studio, penginapan, makan dan minum serta lain-lain. Semua perbelanjaan ditanggung sendiri oleh peserta.

          Kami menaiki bas persiaran bersama dengan pakej ke Universal Studio, Singapura (USS) di hadapan Tune Hotel, Danga Bay, Johor Bahru. Wow banyaknya bas persiaran yang akan membawa pengunjung ke USS. Jam 7.45 pagi bas bergerak menuju ke Woodland untuk pemeriksaan Imigresen Malaysia.

          Setelah tamat pemeriksaan Imigresen Malaysia, perjalanan diteruskan untuk pemeriksaan Imigresen dan Kastam Singapura di Woodland Checkpoint. Semua peserta terpaksa membawa turun beg yang dibawa dari bas untuk diperiksa oleh pihak berkuasa Singapura.

          Selepas semua urusan selesai, perjalanan diteruskan ke USS. Bagi peserta yang pertama kali masuk ke Singapura terasa kagum dengan keindahan dan kebersihan negara tersebut. Ternyata undang-undang ketat telah berjaya mendisiplinkan rakyatnya. Nampak begitu teratur pembangunan di negara Singapura yang maju dan moden ini.

          Jam 10.30 pagi kami semua selamat sampai di Resort World Sentosa. Perasaan teruja mula melanda semua peserta dan tidak sabar-sabar untuk menjelajah USS. Sebaik sampai di pintu masuk USS, kami semua sempat bergambar kumpulan dihadapan Globe USS. Tak sah kalau tak bergambar kat globe nie…kira macam trade mark USS la…Sebaik sahaja masuk ke USS acara bebas bersama keluarga masing-masing sehingga jam 6.30 petang.


        Masuk sahaja ke USS sudah ramai orang di dalam kawasan tersebut. Yang penting sebelum menjelajah ke dalam USS dapatkan peta USS untuk memudahkan pergerakan di dalam kawasan yang berkeluasan 30 ekar ini. Terdapat pelbagai segmen atau tarikan di dalam USS ini seperti persembahan secara langsung, permainan, wayang dan lain-lain. So kena jalan ke semua tempat tersebut untuk menikmati segmen yang disediakan.


          Di dalam USS tiada masalah untuk mendapatkan makanan halal yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Singapura. Pastikan terdapat logo dari Majlis tersebut dan kita boleh beli makanan di situ tanpa ragu-ragu. Terdapat kemudahan surau yang disediakan walaupun tidak begitu luas dan boleh memuatkan 5-6 orang sahaja untuk bersembahyang.

          Jam 6.30 petang, kami semua menaiki bas untuk balik ke Danga Bay, Johor Bahru. Selepas semua pemerisaan Imigresen Singapura dan Malaysia selesai, kami tiba di Johor Bharu pada jam 8.30 malam. Kami telah disajikan makan malam asam pedas johor oleh En. Sidek, Pengarah AADK Negeri Johor. Selepas menikmati makan malam, kami semua menaiki bas jabatan AADK untuk bertolak balik ke Ibu Pejabat AADK. Kami semua selamat tiba di Bangi pada jam 3.30 pagi.

          Perasaan amat gembira melihat warga kerja AADK dapat meluangkan masa yang berkualiti bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan. Sesungguhnya program ini telah meninggalkan kenangan yang manis kepada semua peserta. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada En. Sidek, Pengarah AADK Negeri Johor, En. Azli Ubin, Penolong Pengarah AADK Negeri Johor serta semua warga kerja AADK Negeri Johor yang telah memberi layanan yang begitu baik dan mesra sepanjang program ini berlangsung. Kami semua peserta amat menghargainya… jika ada permintaan, program ini akan diadakan lagi pada tahun 2015….Sekian, terima kasih….