View My Stats

Friday, 8 November 2013

Pendakian Gunung Kinabalu, Sabah - Hari Pertama

26.10.2013 (Sabtu) - Hari pertama pendakian Gunung Kinabalu, Sabah
*Hari ketiga program
Memang telah menjadi hasrat saya untuk membawa 1 pasukan dari AADK untuk menakluk Gunung KInabalu, Sabah setelah saya mendaki gunung ini pada tahun 2011. Menjadi satu kebangaan kepada mana-mana pendaki untuk menakluk puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara ini. Objektif utama program ini ialah untuk mengharumkan nama jabatan di puncak Gunung Kinabalu dan menanamkan semangat tidak cepat berputus asa di kalangan warga kerja AADK dalam mencapai puncak sesuatu kejayaan.

Gunung Kinabalu mempunyai ketinggian 13,455 kaki (4,095.2 meter) dari paras laut. Ianya merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara. Sebelum membuat pendakian, peserta terlebih dahulu hendaklah membuat tempahan dengan pengurusan KINABALU PARK. Kebiasaannya tempahan hendaklah dibuat dalam tempoh 4 bulan hingga ke 5 bulan sebelum tarikh pendakian. Peserta dihadkan seramai 140 orang sahaja bagi setiap pendakian.

Saya telah membuat tempahan untuk mendaki gunung Kinabalu dengan Sutera Sanctuary Lodges iaitu anak syarikat Kinabalu Park pada bulan Ogos 2013. Untuk 10 orang harga yang dikenakan ialah sebanyak RM5,170.00 iaitu sebanyak RM517.00 untuk seorang peserta (Pakej tanpa pengangkutan dari Airport ke Kinabalu Park). Untuk 10 orang peserta bayaran GUIDE ialah sebanyak RM300.00 iaitu bayaran untuk 2 orang GUIDE pergi dan balik dari Timpohon Gate ke Puncak KInabalu (RM30.00 seorang). Bayaran masuk Kinabalu Park ialah RM3.00 seorang manakala untuk sijil berjaya mendaki Gunung KInabalu ialah RM10.00 seorang. Boleh contact SSL untuk tempahan dan pertanyaan mendaki Gunung KInabalu, Sabah 
Sutera Sanctuary Lodges (SSL) :  Lot G15, Wisma Sabah, Jalan Tun Fuad Stephens, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia

Semua peserta bangun sewal jam 6.00 pagi untuk sembahyang dan kemas diri serta mengemas barang keperluan untuk pendakian nanti. Setelah check out dari penginapan, kenderaan datang jemput kami pada jam 7.00 pagi. Kami sempat bergambar kenangan dihadapan penginapan.


Selepas itu semua peserta bersarapan pagi di Balsam CafĂ© bermula jam 7.00 pagi. Makan tengahari bungkus diberikan kepada semua peserta iaitu 1 botol air mineral, sandwich dan sebiji epal untuk dibawa semasa pendakian. 

Selepas bersarapan, semua peserta berkumpul dihadapan pejabat renjer untuk berjumpa dengan GUIDE. Sebelum memulakan pendakian, setiap pendaki akan diberi tanda nama sebagai permit mendaki dan pengenalan diri. Untuk 10 orang pendaki, pihak pengurusan KINABALU PARK akan memberi 2 orang GUIDE sebagai pemandu arah iaitu En. Tumas dan En. Claudius. Pada pagi tersebut sudah ramai pendaki yang bersiap sedia bagi memulakan pendakian.

Selepas berjumpa dengan GUIDE dan mengambil tag nama, kami semua menaiki kenderaan dari pejabat renjer menuju ke Timpohon Gate (pintu masuk Gunung Kinabalu) yang jaraknya lebih kurang 4 km. Sebaik sahaja sampai di Timpohon Gate, perasaan kami semua amat teruja untuk memulakan pendakian. Kami juga sempat bergambar kenangan di hadapan Timpohon gate.

Sebelum memulakan pendakian, taklimat diberikan oleh GUIDE dalam aspek pendakian dan keselamatan peserta. Selepas mendapat taklimat dari GUIDE dan bacaan doa selamat, pendakian bermula dari Timpohon Gate pada jam 8.45 pagi menuju ke Penginapan di LABAN RATA iaitu di pertengahan Gunung Kinabalu. Jarak pendakian pada hari pertama ialah sejauh 6 Km dan mengambil masa di antara 5 jam hingga 8 jam. Permit pendakian akan diperiksa oleh renjer bertugas di Timpohon Gate sebelum peserta dibenarkan memulakan pendakian. Peserta hendaklah menandatangani borang yang telah disediakan oleh renjer yang bertugas.

Cuaca yang cerah dan baik semasa pendakian ke Laban Rata. Pada peringkat awal, pendaki akan melalui jalan-jalan kecil yang mempunyai anak-anak tangga yang dibentuk berdasarkan bentuk muka bumi dan akar-akar pokok.  Keadaan disekitar yang sejuk boleh menyebabkan penguncupan pada otot betis secara tiba-tiba. Ada peserta yang sudah mengalami kekejangan otot atau cramp. Peserta dinasihatkan supaya membawa ubat yang berkaitan dan kurangkan banyak berhenti rehat semasa berjalan. Biarlah berjalan perlahan-lahan daripada terpaksa mengalami kekejangan otot.  Permukaan trek mendaki adalah dari batu granite dan agak licin (terutama apabila hujan). Peserta dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak berlari-lari dan hendaklah memakai kasut mendaki yang bersesuaian.

Pada paras pendakian 10,000 kaki @ 3,100 meter dari aras laut, sudah ada peserta yang mula mengalami penyakit akut ketinggian atau Altitud Mountain Sickness. Peserta tersebut mula  mengalami muntah-muntah, sakit kepala dan pening yang amat sangat serta kesukaran untuk bernafas. Walaubagaimanapun dengan pengalaman pendakian yang ada, peserta tersebut dapat juga sampai ke Laban Rata.

Pada setiap KM pendakian, terdapat pondok yang dibina untuk pendaki berehat. Yang menariknya terdapat tupai yang jinak datang semasa kita berehat lebih-lebih lagi apabila kita makan

Semua peserta dari AADK selamat sampai di Laban Rata. Peserta AADK yang paling awal sampai ke Laban Rata pada jam 2.00 petang (5 jam pendakian) dan yang terakhir sampai ialah pada jam 4.00 petang (7 jam pendakian). Suhu di Laban Rata iaitu pertengahan gunung KInabalu ialah 7 darjah celcius.


 Sebaik sahaja sampai semua peserta daftar masuk dorm untuk penginapan di Laban Rata. Satu dorm boleh memuatkan seramai 12 orang pendaki. Jam 5.00 petang semua peserta menikmati makan malam di Laban Rata restoran bagi mengembalikan tenaga yang telah hilang. Hidangan yang lazat disajikan kepada semua pendaki. 
Selepas makan, semua peserta rehat dan tidur untuk memulakan pendakian ke puncak pada esok pagi. Tamat program pendakian Gunung KInabalu untuk hari pertama.

5 comments:

  1. salam uncle poknik, memey kena bawak backpack besar gedabak ye dari timpohon ke laban rata tuuu.., uhhuu berat sungguh mata memandang..,;-p

    ReplyDelete
  2. Ya wak, bawa barang lebih skit dari Timpohon ke Laban Rata, tapi kalau wak tak nak bawak barang boleh upah porter tolong bawakan...dia orang ambil upah kira berat dan jarak bawa barang tu....nanti boleh tanya GUIDE yang bawa wak nanti kay....tq

    ReplyDelete