Sukan Para ASEAN ke 9 Di Buka Penuh Gemilang
17 September 2017 (Ahad) - Stadium Nasional Bukit Jalil, venue upacara pembukaan dan penutup Sukan SEA ke-29 bulan lepas, sekali lagi menyaksikan kemeriahan dan bermandikan cahaya tetapi kali ini sempena upacara perasmian Sukan Para ASEAN ke-9.
Tirai temasya sukan dwi-tahunan itu dibuka dengan penuh gemilang dan berwarna-warni pada Ahad (17 Sept) menampilkan kepelbagaian budaya dan kesenian tempatan di samping menonjolkan keunikan golongan kelainan upaya di rantau Asia Tenggara.
Majlis bermula dengan perarakan masuk bendera kontinjen bersama bendera Persekutuan Para ASEAN ke-9 oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia. Perarakan masuk kontinjen didahului oleh Brunei dan diikuti oleh Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dan tuan rumah Malaysia. Kontinjen Malaysia diketuai Chef-de-Mission Laksamana Pertama Dato' Subramaniam Raman Nair manakala dua wira paralimpik - Ziyad Zolkefli dan Abdul Latiff Romly diberi penghormatan sebagai pembawa bendera.
Upacara perasmian yang bertemakan Bangkit Bersama turut memperkenalkan maskot Para Rimau yang berkerusi roda. Sejurus selepas itu, persembahan muzikal dan kebudayaan dimulakan oleh The Beautiful Gate Foundation, Persatuan Syndrome Down Malaysia, United Voice Self Advocacy Society of Persons with Learning Disabilities Selangor & Kuala Lumpur dan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah dan diserikan dengan kumpulan Penari Sayang Farah Sulaiman.
Setelah selesai, Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Major Jeneral Osoth Bhavilai dan Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaludin menyampaikan ucapan masing-masing sebelum Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan pembukaan Sukan Para ASEAN ke-9.
Pemain piano autistik, Clarence Kang kemudian mengiringi paparan ilustrasi hasil nukilan anak-anak daripada Persatuan Syndrome Down Malaysia yang memaparkan perspektif mereka tentang Sukan Para ASEAN.
Stadium Nasional Bukit Jalil yang dibanjiri lebih 40,000 orang terus bergemuruh apabila penyanyi bertaraf antarabangsa Yunaris Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna tampil menyampaikan lagu "Rescue."
Atlet powerlifting, Sharifah Raudzah Syed Akil kemudian mengetuai bacaan ikrar mewakili atlet yang mengambil bahagian. Sejurus selesai pembacaan ikrar, tiba giliran perarakan masuk obor kejohanan oleh lima jaguh para iaitu Hasihin Sanawi, Afiq Afifi Rizan, Krishna Kumar Haridas, Siti Noor Radiah Ismail dan Fraiden Dawan. Sukan Para ASEAN yang berlangsung dari 17 hingga 23 Sept, menampilkan 1,421 atlet daripada 11 negara. Sebanyak 16 sukan dipertandingkan dengan menawarkan 368 pingat emas.
No comments:
Post a Comment