Perasmian Sukan Sea ke 29-KL2017-Terbaik

ATLET
 terjun negara, Nur Dhabitah Sabri membakar obor ketika majlis pembukaan
 Sukan SEA 2017 ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Asyraf 
Hamzah
KUALA LUMPUR: 19 Ogos 2017 - Sabtu - Temasya Sukan SEA ke-29 dibuka secara rasminya dalam 
satu majlis pembukaan penuh gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil, 
sebentar tadi. 
Perasmian temasya dwi tahunan yang bertemakan 'Bangkit Bersama' itu 
berlangsung dengan penuh pertunjukan warna-warni yang menonjolkan 
kepelbagaian budaya dan kesenian tempatan.  
Elemen itu diangkat sebagai unsur utama sepanjang pertunjukan untuk 
melengkapkan kemeriahan di venue serba moden yang baharu dinaik taraf.
Upacara bermula dengan persembahan muzik tujuh buah sekolah - Sekolah
 Menengah Kebangsaan (SMK) Katolik, SMK Seafield, SMK Kepong, St John's 
Institution, Chong Hua Independent, SMK Seri Kembangan dan Chong Hua 
Jalan Gombak. 

PERSEMBAHAN bunga api semasa majlis perasmian Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil.  - Foto Fariz Iswadi Ismail
Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meneruskan upacara 
pembukaan dengan nyanyian Lagu Negaraku serta upacara menaikkan bendera 
Malaysia di dalam stadium yang dibanjiri lebih 80,000 penonton. 
Upacara berwarna-warni itu menerapkan kebudayaan dan keunikan yang 
ada di negara ini yang menjadi lambang kebanggaan kepada 32 juta 
penduduk di negara ini.  
Seterusnya, maskot rasmi 'Rimau' diperkenalkan sebelum diikuti 
perarakan masuk 11 kontinjen negara bertanding yang membabitkan 
kira-kira 6,000 peserta terdiri daripada atlet dan pegawai serta agensi 
yang terbabit dalam persembahan. 
Bermula dengan perarakan masuk kontinjen Brunei Darussalam, diikuti 
Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, 
Myanmar, Vietnam dan diakhiri dengan perbarisan masuk barisan kontinjen 
Malaysia yang diketuai Datuk Marina Chin. 

KONTINJEN
 Malaysia memasuki stadium dengan 3 atlet negara selaku pembawa bendera ,
 Azizulhasni Awang, Cheong Jun Hoong dan AlJufri Jamari pada  Majlis 
perasmian Sukan SEA  2017 di Stadium Nasional Bukti Jalil. - Foto Osman 
Adnan 
Barisan atlet negara yang diketuai tiga pembawa Jalur Gemilang - 
Azizulhasni Awang (berbasikal), Cheong Jun Hoong (terjun) dan Al Jufferi
 Jamari (silat) kelihatan segak dan cantik mengenakan persalinan baju 
kurung pesak serta baju Melayu moden yang direka khas. 
Penyanyi Dayang Nurfaizah kemudian tampil untuk menyuntik semangat 
atlet yang bertanding pada edisi ke-29 temasya dwitahunan ini dengan 
nyanyian lagu tema KL2017, Bangkit Bersama.
Upacara perasmian kemudian meniti kemasyhuran silam apabila 
bekas-bekas jaguh dan legenda sukan negara tampil di tengah-tengah 
stadium, diikuti upacara menaikkan bendera Persekutuan Sukan Asia 
Tenggara (SEAGF).
Selepas ucapan Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara, Tunku Imran 
Tuanku Ja'afar, majlis dilengkapkan dengan pengumuman rasmi pembukaan 
temasya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V. 

YANG
 di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyampaikan titah ucapan perasmian
 Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk 
Seri Najib Razak di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri
 Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.  
Ia diteruskan dengan bacaan ikrar yang diketuai jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa.  
Penonton di stadium berkapasiti 100,000 itu kemudian terpukau 
menikmati persembahan pengkisahan muzikal dan kebudayaan penuh 
warna-warni yang menceritakan kelahiran negara ini serta keunikan adat 
tradisi masyarakat pelbagai kaumnya serta rakyat negara Asia Tenggara.

PERSEMBAHAN Maskot pada pembukaan Sukan SEA 2017 edisi ke-29 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Majlis pembukaan diakhiri dengan perarakan masuk obor kejohanan oleh 
barisan atlet jaguh negara, diketuai sukan boling, diikuti berbasikal, 
hoki, olahraga, badminton serta terjun sebelum obor kejohanan dinyalakan
 oleh Nur Dhabitah Sabri sebagai simbolik bermula secara rasminya 
temasya ini, sebelum persekitaran Stadium Nasional Bukit Jalil diterangi
 dengan percikan bunga api. 
Sukan SEA edisi ke-29 yang akan berlangsung sehingga 30 Ogos 
menghimpunkan 4,900 atlet daripada 11 negara dengan Malaysia menyasarkan
 pungutan 111 pingat emas daripada 398 acara yang disertai untuk muncul 
juara keseluruhan. 

 PERCIKAN bunga api di Stadium National Bukit Jalil pada majlis pembukaan Sukan SEA 2017.  - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
petikan dari :  https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2017/08/314594/perasmian-kl2017-penuh-tradisi-gilang-gemilang
 
No comments:
Post a Comment