View My Stats

Thursday, 8 May 2014

Pendakian Gunung Tahan Hari Pertama

Hari Pertama - 1.5.2014 (Khamis - Hari Pekerja)
Starting point Kuala Juram ke Campsite Lata Luis - 13.5 km (5-7 jam pendakian)
Hari Pertama : Pendakian sejauh 13.5 km

Kelab Kebajikan dan Sukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menjemput Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menyertai XPDC mendaki Gunung Tahan, Pahang. Program ini telah diadakan pada 1.6.2014 (Khamis) hingga 6.5.2014 (Selasa) iaitu selama 6 hari dan telah mendapat kelulusan dari ketua Jabatan. 

Pada asal perancangan pendakian ialah dari Sungai Relau, Merapoh-Puncak Tahan-Kuala Tahan tetapi terpaksa diubah atas faktor yang tidak dapat dielakkan. So trek pendakian adalah dari Sungai Relau, Merapoh-Puncak Tahan-Sungai Relau, Merapoh yang melibatkan jarak pendakian sejauh 64 km pergi dan balik. Pendakian lebih kepada santai-santai dan tidak terlalu compress. Antara Jabatan dibawah KDN yang menyertai program ini ialah AADK, PDRM, RELA dan KDN sendiri. Seramai 20 orang peserta yang menyertai program ini dimana 9 orang peserta adalah dari AADK.
Bas dari KDN datang menjemput peserta AADK di Ibu Pejabat AADK pada 30.4.2014 (Rabu) jam 11.00 malam. Perjalanan diteruskan ke Merapoh dan singgah untuk makan dan rehat di Genting Sempah. Dalam perjalanan singgah lagi di Hentian Benta untuk mengambil 3 orang lagi peserta AADK.

Semua peserta selamat sampai di Merapoh pada 1.5.2014, jam 6.00 pagi, berhenti rehat dan sembahyang subuh. Selepas bersarapan dan membeli makan tengahari bungkus, semua peserta selamat tiba di pejabat Taman Negara Sungai Relau, Merapoh pada jam 9.30 pagi. 

Sebaik sampai semua peserta kemas diri untuk persediaan pendakian. Selepas kemas diri, pegawai renjer akan memeriksa barang yang dibawa oleh pendaki. Peserta hendaklah mengisytiharkan barang-barang yang dibawa seperti pakaian, bateri, botol minuman, plastik (semua dikira termasuk gula-gula yang dibawa) dan lain-lain. Barang yang dibawa masuk untuk mendaki hendaklah dibawa turun untuk menjaga kebersihan gunung Tahan. 

Selepas check barang, taklimat dari Pegawai Renjer diadakan dan juga dari GUIDE yang akan memandu arah peserta sepanjang program. Untuk 20 orang peserta, 2 orang GUIDE yang akan bersama dengan peserta iaitu Abg Man dan Abg Aki, GUIDE yang penuh dengan pengalaman. Ramai juga peserta pada hari tersebut lebih kurang dalam 48 orang yang akan mendaki pada hari tersebut. Menurut GUIDE disebabkan sekarang musim bunga di Taman Negara, banyak lebah yang akan mengerumuni peserta. Ada juga yang telah disengat oleh lebah semasa taklimat renjer diadakan.
Guide 1 Abg Man - Gambar atas sebelah kiri dan Guide 2 Abang Aki, (Baju kuning)

Selepas taklimat, semua peserta akan menaiki 4WD sejauh 13 km untuk ke starting point iaitu di Kuala Juram dan akan mengambil masa lebih kurang 15 minit. Sebaik sampai di Kuala Juram peserta terpaksa tergesa-gesa masuk ke dalam hutan kerana banyak lebah yang mengerumuni peserta. Apa lagi berlari-lari peserta masuk ke dalam hutan bagi mengelakkan serangan lebah itu. Terdapat papan tanda Rentis Gunung Tahan dan pendakian bermula melalui jambatan gantung yang terus menuju ke trek pendakian.

Pendakian hari pertama bermula pada jam 11.30 pagi iaitu dari Kuala Juram ke Campsite Lata Luis dengan jarak 13.5 km dengan anggaran masa 5-7 jam. Keadaan trek agak landai dan sedikit meninggi. Pendaki terpaksa mengharungi 6 batang sungai yang jernih dan segar. Jam 2.00 petang, semua peserta singgah makan tengahari di Kuala Luis iaitu ditepi sungai yang jernih. Tapi yang tak bestnya ialah serangan dari lebah yang datang pada kita dengan ramainya. Nak makan pun rasa tak senang dan ada peserta yang disengat oleh lebah tersebut.
Lebah yang mengerumuni Haji Razali, baju putih di Kuala Luis semasa makan tengahari

Selepas makan, pendakian diteruskan ke Lata Luis. Semua peserta selamat tiba di Lata Luis pada jam 5.00 petang dan ada peserta yang sampai lebih awal. Campsite Lata luis agak besar juga dan boleh memuatkan 40 - 50 orang dalam satu-satu masa. Sebaik sampai semua peserta berkerjasama menyediakan tempat untuk tidur dengan menggunakan fly sheet. Selepas itu peserta bergotong royong untuk memasak bagi makan malam. Terdapat punca air yang berdekatan dengan Campsite Lata Luis dan ini memudahkan pendaki untuk mandi, membasuh pinggan mangkuk dan kemas diri. Selepas sembahyang isyak semua peserta tidur untuk pendakian pada esok hari...tamat program untuk hari pertama.

No comments:

Post a Comment