View My Stats

Monday, 12 May 2014

Pendakian Gunung Tahan Hari Kedua

Hari Kedua - 2.5.2014 (Jumaat) 
- Campsite Lata Luis ke Campsite Kubang - 7.5 km pendakian (5 hingga 7 jam)
Telah mendaki sejauh 22 km sehingga ke Kem Kubang


Semua peserta bangun seawal jam 6.00 pagi untuk kemas diri dan sembahyang subuh. Punca air yang banyak dan dekat, amat memudahkan peserta untuk kemas diri. Selepas solat subuh, semua peserta bergotong royong menyediakan sarapan pagi yang berat iaitu nasi putih bersama dengan lauk-lauk yang ringkas. Karbohidrat yang banyak diperlukan bagi memberi tenaga dalam pendakian ini.

Selepas mengemaskan barang dan tempat tidur, taklimat ringkas diberikan sebelum pendakian. Pendakian bermula pada jam 9.30 pagi dan bermulalah cabaran kepada semua peserta. 

Cabaran perjalanan yang dimaksudkan itu adalah permukaan agak menegak dari Lata Luis ke Kem Permatang dan itu memaksa para pendaki memerah keringat. Di laluan itulah kekuatan mental dan fizikal para peserta mula teruji – sama ada mereka benar-benar mampu bertahan atau pun mudah menyerah kalah sebelum tiba di puncak, ditambah pula dengan beban beg yang berat terpaksa dipikul iaitu kira-kira 15-30 kg seorang. Pendaki akan melalui satu lagi campsite iaitu Kem Kor.

 Trek tersebut membuatkan ramai para pendaki terutamanya yang baharu berjinak-jinak dalam aktiviti lasak ini ‘dibelasah’ teruk oleh alam semula jadi sehingga ada yang sudah menganggap pendakian tersebut adalah yang pertama dan terakhir bagi mereka.
Laluan dari Kem Permatang ke Kem Kubang juga memerlukan pada pendaki memanjat akar-akar pokok dan sesekali menuruni tebing bukit dengan terpaksa berpaut pada tali yang disediakan di laluan.
Semua peserta selamat tiba di Kem Kubang pada jam 4.00 petang iaitu kira-kira 7 jam pendakian dan ada peserta yang tiba lebih awal. 
Kem Kubang tidaklah besar sangat dan hanya boleh memuatkan seramai 40-50 orang peserta dalam satu-satu masa. Keadaan campsite yang agak becak dan basah. Punca airnya pula terletak agak jauh dimana peserta terpaksa mendaki turun sejauh 70 meter ke bawah untuk mengambil air dan terpaksa mendaki balik untuk ke campsite. Terdapat satu lagi tapak perkhemahan di bawah iaitu laluan untuk ke punca air tersebut.

Semua peserta memasang fly sheet, bergotong-royong untuk memasak. Walaupun hanya makan nasi bersama lauk yang simple seperti sardin, sambal daging dan sambal ikan, perasaan seperti makan makanan yang mewah. Mungkin makan dalam hutan bersama dengan peserta-peserta lain membuatkan selera makan semakin bertambah dan untuk mengembalikan tenaga yang telah hilang. Semua peserta akan bermalam di Kem Kubang. Kerana kepenatan dan keletihan, semua peserta telah tidur sewal jam 9.00 malam iaitu selepas sembahyang Isyak untuk meneruskan pendakian pada esok hari. Tamat program hari kedua.

2 comments:

  1. 7 jam dengan ada bebrapa bahagian pendakian yg memacak huhuhu.. Gunung Tahan memang dikenali sebagai ketahanan yang kuat huhuhu.. :D

    ReplyDelete
  2. Betul tu..esok nanti saya update bersama gambar sekali....tq

    ReplyDelete