View My Stats

Monday, 13 May 2013

Pendakian Gunung Berembun Dungun, Terengganu - AADK Daerah Kuala Terengganu


Perkongsian pengalaman oleh : En. Hafiz Bin Hassan 
(Ketua AADK Daerah Kuala Terengganu)

Hasrat untuk mengeratkkan hubungan sesama WARGA KERJA AADK melalui program pendakian gunung akhirnya terlaksana. Perancangan demi perancangan dilakukan demi memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Akhirnya, kami seramai 35 orang mewakili warga kerja AADK, Skuad 1Malaysia dan residen CCSC Kuala Terengganu menyahut cabaran pendakian dengan penuh keterujaan. Setibanya di tempat berkumpul, kami mengambil peluang untuk berkenalan terlebih dahulu memandangkan ada diantara kami yang masih tidak mengenali antara satu sama lain ataupun tidak pernah bersua muka. 

Kelihatan semuanya bersemangat untuk memulakan pendakian yang penuh cabaran ini. Seawal 8.00 pagi, kami berkumpul dan diberikan taklimat oleh En. Hafiz bin Hassan selaku jurupandu pendakian untuk Program Pendakian Perdana Warga AADK Malaysia pada kali ini. Taklimat yang menitikberatkan aspek keselamatan dan kerjasama pasukan itu diakhiri dengan bacaan doa, memohon pada Allah supaya dipermudahkan segala urusan.

Pendakian bermula jam pukul 9.00 pagi, menuju ke kaki air terjun. Satu jam pertama perjalanan, ada peserta yang sudah mula keletihan. Namun, dengan semangat dan kerjasama pasukan yang tinggi, akhirnya pendakian dapat diteruskan. Kami tiba dikaki air terjun pada jam 10.00 pagi. Berehat selama 30 minit dengan disajikan panorama yang sangat indah membuatkan kami melupakan seketika keletihan awal pendakian. Pendakian seterusnya sangat meletihkan. Selama 3 jam kami terpaksa merempuh trek yang seolah-olah tegak berdiri, sangat mencabar, menuntut kesabaran yang tinggi dan menguji ketahanan fizikal mahupun kekuatan mental.

Setibanya kami di Kem Balak pada jam 2.00 petang, peluang diambil untuk menikmati juadah tengahari, solat dan berehat panjang setelah berjuang berhabis-habisan meredah belantara penuh cabaran. Ada peserta yang mengambil peluang untuk mandi sambil ditemani ikan-ikan yang sangat jinak. Sehinggakan boleh mendapatkan perkhidmatan spa urutan ikan secara percuma. Pengalaman yang sangat menyeronokkan. 

Seterusnya, kami kembali meneruskan pendakian menuju ke Kem Y yang mana merupakan tempat penginapan pada hari ini. Kami mendirikan khemah dan memulakan kehidupan sebagai pengembara seadanya. Memasak menggunakan mestin dan nasi berlaukkan sardin merupakan lauk yang paling enak ketika di gunung. Manakala pengalaman sepanjang pendakian menjadi topik hangat perkongsian sebelum melelapkan mata yang keletihan.

Seperti mendapat satu tenaga baru, kami bangun dengan penuh bersemangat pada  19 April 2013. Mempersiapkan diri dan terus bertolak ke puncak seawal 9.00 pagi. Kali ini, perjalanan sudah tidak seperti sebelumnya. Bentuk muka bumi sudah agak landai dan sedikit sahaja yang berbukit membuatkan segalanya berjalan lancar. 

Perjalanan yang dihiasi dengan pelbagai tumbuhan hutan seperti periuk kera dan pokok-pokok bonzai seolah-olah berada dalam taman menambahkan keterujaan kami untuk sampai ke puncak. Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya tiba di puncak Gunung Berembun yang setinggi 3405 kaki dari paras laut pada pukul 1.00 petang. Berembun sudah kami tawan! Terpancar riak kepuasan dan keriangan diwajah peserta.

Terdapat 2 kolam besar di puncak Air Terjun Lansir yang merupakan punca air di Hutan Lipur Chemerong ini. Disitu jugalah tempat kami bermandi-manda, melepaskan segala penat lelah pendakian. Khemah didirikan dan sekali lagi kami menjalani kehidupan sebagai pengembara pada 20 April 2013. Setelah selesai mempersiapkan diri, kami memulakan perjalanan pulang pada pukul 9.00 pagi. Sekali lagi perjalanan kami diiringi oleh tumbuhan hutan yang cantik, menambahkan rasa sedih dihati. 

Bilakah akan dapat kembali lagi ke Gunung Berembun, gunung yang cantik, yang mempunyai air terjun 7 tingkat ini. Namun begitu, hati kami berasa puas. Segalanya berjaya ditempuhi hasil semangat dan kerjasama yang tinggi dari semua peserta. Kami tinggalkan Berembun pada jam 7.00 petang dengan penuh pengalaman suka duka sepanjang perjalanan. Dan kami pasti akan merindui kenangan ini. Terima kasih kepada 10 pendaki dari CnC Tampoi, 2 pendaki dari Triage Gambang, seorang pendaki dari AADK Tumpat,  2 pendaki dari AADK Kuala Terengganu dan 21 pendaki dari skuad 1Malaysia dan residen CCSC Kuala Terengganu.


KEMBARA ALAM AADK
"NIKMATI ANUGERAH ALAM"

No comments:

Post a Comment