View My Stats

Tuesday 25 March 2014

Jalan-jalan Ke Ho Chi Minh Backpacker Hari Kedua

Hari Kedua - 22.3.2014 (Jumaat)


Kami bersarapan di restoran Kampung Melayu yang terletak betul-betul di hadapan hotel kami menginap. Kami makan mee goreng mamak, nasi lemak, teh O dan teh tarik. Masakannya agak sedap dan menepati citarasa kami. Harga untuk sarapan pagi ialah sebanyak 289,000VD (289,000VD bahagi 6,100 = lebih kurang RM47.00). Restoran ini mempunyai sijil halal dari kerajaan Vietnam. Tuan punya restoran ini ialah Datuk Helmi Bin Jaafar iaitu seorang rakyat Malaysia. Restoran ini dibuka bermula jam 5.30 pagi hingga jam 11.30 malam.

Selepas bersarapan kami pergi ke Pasar Ben Thanh dengan berjalan kaki kerana jaraknya yang dekat, tempat tumpuan rakyat Malaysia untuk membeli belah di HCM. Macam-macam barang yang terdapat di pasar ini seperti kain, tudung, beg, kasut, t-shirt, jam, cenderahati dan lain-lain dengan harga yang amat berpatutan. Yang penting kena pandai tawar menawar untuk mendapatkan harga yang murah. Jangan terkejut jika ada peniaga di pasar Ben Thanh ini pandai serba sedikit cakap bahasa melayu. Kami membeli beberapa pasang kain dan tempah baju kurung dan baju melayu untuk di pakai pada Hari Raya nanti....

Selepas membeli-belah di Pasar Ben Thanh, kami singgah makan pho Vietnam iaitu seperti mee atau meehoon sup yang terletak berdekatan dengan hotel kami menginap. Harga bagi semangkuk pho ialah sebanyak 50,000VD (50,000VD bahagi 6100 = lebih kurang RM8.00). Yang pasti pho dia memang sedap. Selepas makan pho kami balik berehat di hotel.

Jam 6.00 petang, kami makan malam di Warung 1Malaysia juga terletak dihadapan hotel kami. Kami pesan ikan masam manis, kangkung goreng belacan, popia gulung Vietnam, nasi putih 2 pinggan dan 2 gelas teh tarik. Makanan dia kira sederhana sahaja, tapi yang paling sedap ialah popia gulung Vietnam. Harga makanan tersebut ialah sebanyak 420,000VD (420,000VD bahagi 6,100 = lebih kurang RM69.00)

Selepas makan malam, kami serbu lagi pasar malam yang terletak bersebelahan dengan pasar Ben Thanh untuk membeli barang yang masih belum dibeli. Kami membeli telekung, kain sutera Vietnam, Beg Dueter, t-shirt dan lain-lain. Harganya cukup murah dan yang penting kena la tawar menawar. Sebelum membeli kami akan servey harga 4 atau 5 kedai dahulu, so mana kedai yang menjual dengan harga murah, kami akan beli di kedai tersebut. Kami banyak menggunakan duit RM untuk membeli belah di pasar malam tersebut. Selepas membeli belah kami beli kopi ais Vietnam dengan harga RM3.00. Selepas itu kami balik ke hotel untuk tidur dan berehat.
Tamat program pada hari kedua

No comments:

Post a Comment