View My Stats

Monday 10 March 2014

Jalan-Jalan Ke Bandung - Hari Ketiga

Hari Ketiga - 28.2.2014 (Jumaat)

Hari ketiga, selepas kemas diri, sembahyang subuh dan bersarapan di hotel, Pak Teddy datang jemput kami pada jam 8.30 pagi. Hari ini kami pergi ke Kartika Sari untuk membeli brownies sebagai cenderahati untuk di bawa balik ke Malaysia. Pelbagai jenis brownies untuk dibuat pilihan. Selain itu disini juga ada menjual coklat, kiuh-muih dan pelbagai jenis kek.
 Orang kata kalau pergi bandung tak sah jika tidak beli brownies. Sedap sungguh rasanya dan terdapat dalam pelbagai rasa seperti perasa mocca, coklat dan lain-lain. Banyak juga kami beli untuk dibawa balik ke Malaysia.

Selepas membeli brownies, saya balik ke hotel untuk berehat kerana rasa hendak demam. Dalam perjalanan balik ke hotel kami singgah membeli kerepek dan pelbagai jenis makanan kering. Ada tempe goreng, rempeyek, pisang salai, dan lain-lain produk yang telah siap dibungkus. Harganya amat berpatutan sekali.

Sebelum balik ke hotel saya ada membeli batagor iaitu makan tradisi Bandung. Ianya seperti fish cake, digoreng dan dimakan dengan kuah kacang bersama kicap pekat. Sedap juga rasanya dengan harga yang agak murah. Sekali makan seperti rojak mamak kat negara kita.

Jam 6.00 petang, Pak Teddy datang jemput kami dihotel untuk pergi makan malam. Sekali lagi kami makan nasi bungkus Riau di jalan Riau. Selepas makan kami jalan-jalan dikawasan sekitar jalan Riau yang banyak terdapat factory outlet (FO). Bila kami keluar dari FO terdapat penyanyi jalanan datang kepada kami untuk menghiburkan kami. Selepas menyanyi mereka menghulurkan bekas untuk kita menderma kepada mereka. Kesian juga melihat mereka mencari rezeki di kota Bandung ini. Ada juga pengemis dari golongan kanak-kanak dan orang tua meminta sedekah dari pelancong. Mereka akan berbesar hati jika kita menderma walaupun serendah 2,000 rupiah (50 sen) atau 5,000 rupiah (RM1.50).  
Selepas selesai makan dan membeli belah di Jalan Riau, kami pun balik ke hotel untuk berehat dan tidur. Tamat program pada hari ketiga.

1 comment:

  1. As-salam,

    nak tanya yg jual kerepek tu area mana..saya nak ke bandung bln11 ni..kalau sempat nak singgah sana..

    TQ

    ReplyDelete