View My Stats

Wednesday, 29 October 2014

Pendakian Gunung Santubong, Sarawak

Baru-baru ini Unit Kembara Alam, Kelab Kebajikan dan Sukan, Agensi Antidadah Kebangsaan telah mengadakan program Pendakian Gunung Santubong, Sarawak. Program ini melibatkan seramai 20 orang penyertaan. Perbelanjaan untuk mengikuti program ini ialah sebanyak RM500.00 hingga RM700.00 seorang iaitu untuk tempah tiket kapal terbang, penginapan, makan dan minum sepanjang program ini berlangsung. Perbelanjaan ditanggung sendiri oleh peserta.

Gunung Santubong mempunyai ketinggian 817 meter @ 2,800 kaki dari aras laut. Gunung ini boleh didaki melalui 3 pintu masuk iaitu melalui Kampung Budaya Sarawak, Green Paradise Seafood dan Bukit Puteri. Trek yang sentiasa didaki ialah melalui Bukit Puteri kerana trek ini agak pendek sedikit iaitu lebih kurang 6.5 km untuk pendakian naik dan 6.5 km untuk pendakian turun (13 km untuk pendakian naik dan turun). Gunung Santubong terletak kira-kira 35 kilometer di bahagian utara pusat bandar Kuching.

Berdasarkan mitos masyarakat setempat, Gunung Santubong berasal daripada jasad puteri kayangan yang bernama Puteri Santubong selepas disumpah menjadi gunung. Menurut mitos, Puteri Santubong dan saudara kandungnya, Puteri Sejinjang diperintah oleh ayahanda mereka, Dewata Mulia untuk turun ke Bumi bagi membantu menyelesaikan konflik antara penduduk Kampung Pasir Putih dan Kampung Pasir Kuning.
Sebelum turun ke Bumi, mereka bersumpah untuk tidak bertelingkah sesama sendiri ketika berusaha mendamaikan penduduk kedua-dua kampung berkenaan. Usaha mereka akhirnya berjaya. Kedua-dua kampung itu berdamai dan bekerjasama dalam kegiatan perdagangan dengan beberapa buah negeri asing. Sejak itu, ramai putera raja dari beberapa buah negeri berusaha melamar hati kedua-dua puteri kayangan tersebut. Namun, semua lamaran tersebut ditolak.
Bagaimanapun, kedua-dua puteri kayangan berkenaan jatuh cinta terhadap seorang putera raja dan akhirnya bergaduh sesama sendiri. Akibat pertelingkahan yang melanggar sumpah itu, Puteri Santubong serta Puteri Sejinjang telah disumpah oleh ayahanda mereka dan bertukar menjadi gunung. Mitos yang popular dalam kalangan masyarakat tempatan itu juga menjadikan Gunung Santubong sebagai antara destinasi pendakian yang terkenal di Sarawak
Kami memulakan pendakian melalui trek Check point 2 Bukit Puteri. Di pintu masuk Bukit Puteri terdapat pondok yang menjaga trek pendakian tersebut. Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM8.00 seorang untuk permit masuk dan pendakian. Jika peserta ingin sijil pendakian, bayaran adalah sebanyak RM13.00 seorang. Sijil pendakian boleh diambil apabila peserta tamat membuat pendakian di pondok tersebut.

Selepas mendaftar dan membuat bayaran masuk serta bacaan doa, pendakian Gunung Santubong bermula jam 10.00 pagi. GUIDE bagi pendakian ini diketuai oleh Puan Julia dan dibantu oleh Encik Nazar, En. Mazlan, En. Yusri, En. Nizam dan En. Wandi. Kesemua GUIDE ini bertugas di AADK Negeri Sarawak.

Dari awal trek pendakian di Bukit Puteri, trek pendakian sudah mula meninggi dan akan tiba di check point pertama yang dikenali F7. Semua peserta selamat tiba di F7 pada jam 10.45 pagi iaitu kira-kira 45 minit pendakian.

Bermula dari check point F7 inilah cabaran yang sebenar sedang menanti para pendaki.  Anda akan mula mendaki laluan trail yang banyak berakar dan curam. "Kami perlu melangkah dengan berhati-hati kerana laluan tersebut berselirat dengan akar-akar pokok yang berselang-seli dengan batu-batuan berlumut licin.

Setelah sampai di check point F9, kekuatan mental dan fizikal pendaki akan diuji sehingga tahap maksima. selepas melalui check point F9, laluan curam sehingga 90 darjah terbentang di hadapan kami. Untuk mendaki, kami perlu memanjat tangga kayu yang diikat pada tali. Sedikit sebanyak, timbul perasaan gayat ketika mahu memanjat tangga kayu pada cerun yang ada kalanya mencecah 15 hingga 20 meter tinggi.
 Jarak di antara kayu-kayu pada tangga tersebut pula agak jauh menyebabkan mana-mana pendaki berbadan kecil terkial-kial memanjatnya. Kami bagaimanapun menguatkan semangat dan memberanikan diri memanjat tangga tersebut berpandukan petua mudah - jangan pandang ke bawah,

Walau bagaimanapun, rasa bimbang masih menyerang terutama setiap kali tangga bertali itu terbuai-buai ditiup angin. Jika tersilap langkah atau genggaman tangan tidak kuat, pendaki mungkin tergelincir dan jatuh ke atas batu dan boleh mengakibatkan kecederaan yang teruk dan parah. Dalam pada itu, kami turut bertembung dengan beberapa kumpulan pendaki lain yang dalam perjalanan turun ke kaki gunung.

Atas faktor keselamatan, hanya seorang pendaki dibenarkan memanjat tangga pada satu-satu masa. Jika ada pendaki lain yang mahu turun, kita dikehendaki beri laluan kepada mereka. Selepas check point F9, kita berdepan banyak lagi cerun 90 darjah seumpama itu menanti sehinggalah tiba di check point terakhir iaitu F15.
 Pergerakan perlahan kerana perlu memanjat cerun bertangga menyebabkan pendaki hanya tiba di puncak kira-kira pukul 1.30 petang iaitu setelah lebih tiga jam setengah mendaki dengan jarak pendakian lebih kurang 6.5 km. Pemandangan indah Laut China Selatan yang dapat dilihat dari puncak membuat rasa penat hilang serta-merta. Terdapat sebuah pondok yang dibina oleh persatuan silat untuk tujuan pertapaan di puncak gunung tersebut.

Turut menarik perhatian ialah kewujudan tujuh 'perigi' semula jadi yang menakung air hujan. Selain itu, ukiran wajah manusia pada seketul batu besar turut membuat kami terlopong kagum. Berdasarkan maklumat pada papan tanda yang disediakan, wajah manusia tersebut milik Datuk Merpati, seorang pembesar Melayu dari Johor yang dipercayai menjadi antara orang terawal meneroka kawasan Santubong. Sayangnya, tiada sebarang maklumat tentang pengukir batu tersebut dan identitinya sehingga kini masih menjadi tanda tanya.
 Dari puncak Gunung Santubong, pendaki dapat melihat keindahan laut Cina Selatan yang terbentang luas di depan mata. Pendaki juga dapat melihat bandaraya Kuching dari puncak gunung ini. Begitu cantik sekali permandangan yang dapat dilihat dari puncak gunung ini. Keindahan ciptaan Yang Maha Esa.


Setelah bergambar kenang-kenangan dan makan tengahari ringkas, pendakian turun dari puncak gunung Santubong bermula jam 2.00 petang. Sekali lagi pendaki akan melalui anak tangga yang bertali untuk mendaki turun. Ingatkan turun lagi senang, tetapi sebenarnya lagi susah. Pendaki perlu berhati-hati untuk pijak anak tangga dan pastikan memegang tali untuk melangkah turun bagi mengelakkan kemalangan dan menghadapi risiko terjatuh sekiranya terpijak permukaan licin. Angin kencang juga menyebabkan tangga tali tidak stabil dan bergoyang sehingga menuntut para pendaki sentiasa lebih berwaspada.
Akhirnya setelah bertungkus lumus untuk pendakian turun, semua peserta selamat tiba di pintu masuk Bukit Puteri pada jam 5.30 petang iaitu kira-kira tiga jam setengah pendakian turun. Selepas turun semua peserta hendaklah melaporkan diri balik ke pondok pengurusan pintu masuk Bukit Puteri. Selepas itu boleh lah collect sijil pendakian yang telah dibayar di pondok tersebut.

Walaupun Gunung Santubong hanya mempunyai ketinggian 810 meter atau 2,800 kaki, namun kebanyakan pendaki berpengalaman menganggap Gunung Santubong mempunyai tahap kesukaran pendakian yang agak tinggi. Sesungguhnya untuk menakluk puncak Gunung Santubong, peserta hendaklah mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang mantap bagi menawan puncak tersebut.
           
Perasaan bangga dapat melihat kesemua peserta AADK berjaya menakluk puncak gunung Santubong dengan jarak pendakian lebih kurang 13 Km naik dan turun. Sesungguhnya semangat kerjasama dan saling memberi motivasi antara satu sama lain telah berjaya membakar semangat peserta AADK untuk menakluk puncak Gunung Santubong ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua GUIDE dari AADK Negeri Sarawak yang telah menjaga keselamatan semua peserta bermula dari pendakian naik dan turun. Terima kasih juga kepada Pengarah AADK Negeri Sarawak serta seluruh warga kerja AADK Negeri Sarawak yang telah mengatur program ini dengan baik dan lancar serta layanan yang begitu ramah dan mesra sebagai satu keluarga besar AADK. Akhirnya nama AADK terpahat megah di puncak Gunung Santubong, Sarawak. Semoga berjumpa lagi dalam program pendakian akan datang… 

No comments:

Post a Comment