Baru-baru ini Unit Kembara Alam, Kelab Kebajikan dan
Sukan, Agensi Antidadah Kebangsaan telah mengadakan program Pendakian Gunung Santubong,
Sarawak. Program ini melibatkan seramai 20 orang penyertaan. Perbelanjaan untuk
mengikuti program ini ialah sebanyak RM500.00 hingga RM700.00 seorang iaitu
untuk tempah tiket kapal terbang, penginapan, makan dan minum sepanjang program
ini berlangsung. Perbelanjaan ditanggung sendiri oleh peserta.
Gunung Santubong mempunyai
ketinggian 817 meter @ 2,800 kaki dari aras laut. Gunung ini boleh didaki
melalui 3 pintu masuk iaitu melalui Kampung Budaya Sarawak, Green Paradise
Seafood dan Bukit Puteri. Trek yang sentiasa didaki ialah melalui Bukit Puteri
kerana trek ini agak pendek sedikit iaitu lebih kurang 6.5 km untuk pendakian naik dan 6.5 km
untuk pendakian turun (13 km untuk pendakian naik dan turun). Gunung Santubong terletak kira-kira 35
kilometer di bahagian utara pusat bandar Kuching.
Berdasarkan
mitos masyarakat setempat, Gunung Santubong berasal daripada jasad puteri
kayangan yang bernama Puteri Santubong selepas disumpah menjadi gunung. Menurut
mitos, Puteri Santubong dan saudara kandungnya, Puteri Sejinjang diperintah
oleh ayahanda mereka, Dewata Mulia untuk turun ke Bumi bagi membantu
menyelesaikan konflik antara penduduk Kampung Pasir Putih dan Kampung Pasir
Kuning.
Sebelum turun ke Bumi, mereka bersumpah untuk tidak
bertelingkah sesama sendiri ketika berusaha mendamaikan penduduk kedua-dua
kampung berkenaan. Usaha mereka akhirnya berjaya. Kedua-dua kampung itu
berdamai dan bekerjasama dalam kegiatan perdagangan dengan beberapa buah negeri
asing. Sejak itu, ramai putera raja dari beberapa buah negeri berusaha melamar
hati kedua-dua puteri kayangan tersebut. Namun, semua lamaran tersebut ditolak.
Bagaimanapun,
kedua-dua puteri kayangan berkenaan jatuh cinta terhadap seorang putera raja
dan akhirnya bergaduh sesama sendiri. Akibat pertelingkahan yang melanggar
sumpah itu, Puteri Santubong serta Puteri Sejinjang telah disumpah oleh
ayahanda mereka dan bertukar menjadi gunung. Mitos yang popular dalam kalangan
masyarakat tempatan itu juga menjadikan Gunung Santubong sebagai antara
destinasi pendakian yang terkenal di Sarawak
Kami memulakan pendakian melalui trek Check point 2 Bukit Puteri. Di
pintu masuk Bukit Puteri terdapat pondok yang menjaga trek pendakian tersebut.
Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM8.00 seorang untuk permit masuk dan
pendakian. Jika peserta ingin sijil pendakian, bayaran adalah sebanyak RM13.00
seorang. Sijil pendakian boleh diambil apabila peserta tamat membuat pendakian
di pondok tersebut.
Selepas mendaftar dan membuat
bayaran masuk serta bacaan doa, pendakian Gunung Santubong bermula jam 10.00
pagi. GUIDE bagi pendakian ini diketuai oleh Puan Julia dan dibantu oleh Encik
Nazar, En. Mazlan, En. Yusri, En. Nizam dan En. Wandi. Kesemua GUIDE ini
bertugas di AADK Negeri Sarawak.
Dari awal trek pendakian di Bukit
Puteri, trek pendakian sudah mula meninggi dan akan tiba di check point pertama
yang dikenali F7. Semua peserta selamat tiba di F7 pada jam 10.45 pagi iaitu
kira-kira 45 minit pendakian.
Bermula dari check point F7 inilah
cabaran yang sebenar sedang menanti para pendaki. Anda akan mula
mendaki laluan trail yang banyak berakar dan curam. "Kami perlu melangkah dengan
berhati-hati kerana laluan tersebut berselirat dengan akar-akar pokok yang
berselang-seli dengan batu-batuan berlumut licin.
Setelah
sampai di check point F9, kekuatan mental dan fizikal pendaki akan diuji
sehingga tahap maksima. selepas melalui check point F9, laluan curam sehingga 90 darjah
terbentang di hadapan kami. Untuk mendaki, kami perlu memanjat tangga kayu yang
diikat pada tali. Sedikit sebanyak, timbul perasaan gayat ketika mahu memanjat
tangga kayu pada cerun yang ada kalanya mencecah 15 hingga 20 meter tinggi.
Jarak di antara
kayu-kayu pada tangga tersebut pula agak jauh menyebabkan mana-mana pendaki
berbadan kecil terkial-kial memanjatnya. Kami bagaimanapun menguatkan semangat
dan memberanikan diri memanjat tangga tersebut berpandukan petua mudah - jangan
pandang ke bawah,
Walau
bagaimanapun, rasa bimbang masih menyerang terutama setiap kali tangga bertali
itu terbuai-buai ditiup angin. Jika tersilap langkah atau genggaman tangan
tidak kuat, pendaki mungkin tergelincir dan jatuh ke atas batu dan boleh
mengakibatkan kecederaan yang teruk dan parah. Dalam pada itu, kami turut
bertembung dengan beberapa kumpulan pendaki lain yang dalam perjalanan turun ke
kaki gunung.
Atas faktor
keselamatan, hanya seorang pendaki dibenarkan memanjat tangga pada satu-satu
masa. Jika ada pendaki lain yang mahu turun, kita dikehendaki beri laluan
kepada mereka. Selepas check
point F9, kita berdepan
banyak lagi cerun 90 darjah seumpama itu menanti sehinggalah tiba di check point terakhir iaitu F15.
Pergerakan
perlahan kerana perlu memanjat cerun bertangga menyebabkan pendaki hanya tiba
di puncak kira-kira pukul 1.30 petang iaitu setelah lebih tiga jam setengah mendaki dengan jarak pendakian lebih kurang 6.5 km.
Pemandangan indah Laut China Selatan yang dapat dilihat dari puncak membuat
rasa penat hilang serta-merta. Terdapat sebuah pondok yang dibina oleh
persatuan silat untuk tujuan pertapaan di puncak gunung tersebut.
Turut menarik
perhatian ialah kewujudan tujuh 'perigi' semula jadi yang menakung air hujan.
Selain itu, ukiran wajah manusia pada seketul batu besar turut membuat kami
terlopong kagum. Berdasarkan maklumat pada papan tanda yang disediakan, wajah
manusia tersebut milik Datuk Merpati, seorang pembesar Melayu dari Johor yang
dipercayai menjadi antara orang terawal meneroka kawasan Santubong. Sayangnya,
tiada sebarang maklumat tentang pengukir batu tersebut dan identitinya sehingga
kini masih menjadi tanda tanya.
Dari puncak Gunung Santubong, pendaki
dapat melihat keindahan laut Cina Selatan yang terbentang luas di depan mata.
Pendaki juga dapat melihat bandaraya Kuching dari puncak gunung ini. Begitu
cantik sekali permandangan yang dapat dilihat dari puncak gunung ini. Keindahan
ciptaan Yang Maha Esa.
Setelah bergambar kenang-kenangan dan
makan tengahari ringkas, pendakian turun dari puncak gunung Santubong bermula
jam 2.00 petang. Sekali lagi pendaki akan melalui anak tangga yang bertali
untuk mendaki turun. Ingatkan turun lagi senang, tetapi sebenarnya lagi susah.
Pendaki perlu berhati-hati untuk pijak anak tangga dan pastikan memegang tali
untuk melangkah turun bagi mengelakkan kemalangan dan menghadapi
risiko terjatuh sekiranya terpijak permukaan licin. Angin kencang juga menyebabkan tangga tali tidak stabil dan
bergoyang sehingga menuntut para pendaki sentiasa lebih berwaspada.
Akhirnya setelah
bertungkus lumus untuk pendakian turun, semua peserta selamat tiba di pintu
masuk Bukit Puteri pada jam 5.30 petang iaitu kira-kira tiga jam setengah
pendakian turun. Selepas turun semua peserta hendaklah melaporkan diri balik ke
pondok pengurusan pintu masuk Bukit Puteri. Selepas itu boleh lah collect sijil
pendakian yang telah dibayar di pondok tersebut.
Walaupun Gunung Santubong
hanya mempunyai ketinggian 810 meter atau 2,800 kaki, namun kebanyakan pendaki
berpengalaman menganggap Gunung Santubong mempunyai tahap kesukaran pendakian
yang agak tinggi. Sesungguhnya untuk menakluk puncak Gunung Santubong, peserta
hendaklah mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang mantap bagi menawan puncak
tersebut.
Perasaan bangga dapat melihat
kesemua peserta AADK berjaya menakluk puncak gunung Santubong dengan jarak pendakian lebih kurang 13 Km naik dan turun. Sesungguhnya semangat
kerjasama dan saling memberi motivasi antara satu sama lain telah berjaya
membakar semangat peserta AADK untuk menakluk puncak Gunung Santubong ini.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua GUIDE dari AADK Negeri Sarawak
yang telah menjaga keselamatan semua peserta bermula dari pendakian naik dan
turun. Terima kasih juga kepada Pengarah AADK Negeri Sarawak serta seluruh
warga kerja AADK Negeri Sarawak yang telah mengatur program ini dengan baik dan
lancar serta layanan yang begitu ramah dan mesra sebagai satu keluarga besar
AADK. Akhirnya nama AADK terpahat megah di puncak Gunung Santubong, Sarawak.
Semoga berjumpa lagi dalam program pendakian akan datang…