View My Stats

Tuesday 12 November 2013

Pendakian Gunung KInabalu, Sabah - Hari Kedua

27.10.2013 (Ahad) - Hari Kedua Pendakian Gunung Kinabalu, Sabah
*Hari keempat program
Pada hari kedua pendakian iaitu 27.10.2013 (Ahad), semua pendaki akan bangun seawal jam 1.00 pagi untuk kemas diri dan sarapan awal pagi (early supper). Selepas makan dan diberi taklimat oleh GUIDE, peserta memulakan pendakian ke puncak pada jam 2.45 pagi. Jarak pendakian dari Laban Rata ke puncak Gunung Kinabalu ialah sejauh 3 Km dan mengambil masa di antara 3 jam hingga 5 jam. Setiap pendaki hendaklah mempunyai head lamp atau lampu suluh untuk menyusuri trek yang gelap dan kelam. Peserta juga hendaklah memakai baju tebal dan ada sarung tangan untuk memegang tali keselamatan yang amat sejuk. Cuaca semasa pendakian ke puncak Gunung Kinabalu adalah amat baik ketika itu.

Semasa pendakian dari Laban Rata iaitu pada paras ketinggian 10,700 kaki @ 3,200 meter ke puncak Gunung Kinabalu, udara menjadi semakin nipis. Ada di kalangan pendaki mula mengalami sesak nafas dan sukar untuk bernafas kerana kekurangan oksigen. Peserta juga akan cepat letih dan seakan tidak berdaya untuk berjalan secara lurus dan akan berjalan secara terhoyong hayang.  Hidung peserta juga akan cepat berair dan merasa kering bibir dan cepat haus disebabkan udara yang sejuk dan lembab. Tiupan angin semasa pendakian ke puncak menambahkan lagi kesejukan hingga menusuk tulang.

Peserta juga terpaksa melalui trek pendakian yang berada betul-betul di tepi cerun dan jika terlepas pegang tali keselamatan, peserta boleh jatuh dari ketinggian 3,500 meter ke bawah. Trek pendakian yang berbatu dan licin menambahkan lagi cabaran kepada peserta. Peserta juga perlu memanjat batu pada kedudukan 90 darjah dalam cuaca yang gelap, berkabus, berangin serta sejuk sehingga menusuk tulang. Sekali lagi semua pendaki akan diperiksa permit di Sayat-Sayat check point (Km 7) oleh renjer yang bertugas sebelum dibenarkan mendaki sehingga ke puncak.


Akhirnya berkat ketabahan dan kecekalan peserta, semua pendaki selamat tiba di Puncak Gunung Kinabalu seawal jam 6.00 pagi (3 jam pendakian) dan yang terakhir sampai pada jam 7.30 pagi (5 jam pendakian). Terdapat papan tanda di puncak gunung Kinabalu yang menandakan bahawa anda telah benar-benar berjaya menakluk puncak gunung tersebut. Suhu di puncak kinabalu jatuh ke 4 darjah celcius dan semua pendaki mengalami keadaan sejuk yang amat sangat sehingga menusuk tulang. Seluruh anggota terasa kebas dan rasa amat sukar untuk bernafas. Puncak Gunung Kinabalu di kenali sebagai LOW PEAK iaitu puncak tertinggi dengan ketinggian 13,455 kaki @ 4,095.2 meter. Semua pendaki tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan melihat permandangan yang terbentang luas di depan mata. Terdapat juga  pendaki dari negara luar seperti dari Kanada, England, Perancis, Belanda, Filipina dan lain-lain yang sama-sama mendaki ke puncak kinabalu


Pada jam 8.00 pagi semua pendaki memulakan pendakian turun dari puncak ke penginapan LABAN RATA sejauh 3 km dan sampai di Laban Rata sewal jam 10.00 pagi (2 jam) dan yang paling lewat pada jam 11.15 pagi (3 jam). Selepas Check out dari Laban Rata pada jam 11.30 pagi, pendaki akan mendaki turun sejauh 6 km lagi untuk kembali ke TIMPOHON GATE iaitu di permulaan pendakian.

Semua peserta selamat sampai di TIMPOHON GATE pada jam 4.00 petang (5 jam pendakian turun) dan peserta yang terakhir sampai pada jam 5.45 petang (7 jam pendakian turun) dan menempuh pendakian sejauh 12 km (15 jam) pada hari terakhir dalam cuaca yang sejuk dan hujan. Sebaik sampai di Timpohon Gate, peserta hendaklah melaporkan diri kepada renjer yang bertugas. High tea bungkus diberikan kepada semua peserta sebagai bekalan makanan selepas pendakian turun. Selepas makan dan check out dari KINABALU PARK, semua peserta yang berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu akan diberi sijil pengesahan sebagai tanda berjaya menakluk puncak Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di Asia Tenggara.


Selepas check out dari Kinabalu Park, semua peserta menuju balik ke Kota Kinabalu untuk menginap di Marina Court. Terima kasih kepada AADK Negeri Sabah yang menyediakan apartment ditengah-tengah bandar Kota Kinabalu. Selepas kemas diri, kami semua pergi makan malam bersama-sama dengan Pengarah AADK Negeri Sabah. Selepas makan malam, semua peserta balik ke penginapan untuk berehat dan tidur. Tamat program pada hari keempat.

2 comments:

  1. Wow.. bestnye.. teringin nak sampai ke puncak Gunung Kinabalu.. tak taw la, dapat ke tak..

    www.shelovevitamin.com

    ReplyDelete
  2. Puan sheila...rasanya dapat sampai ke puncak Kinabalu, yang penting puan Sheila kena yakin dengan keupayaan diri kay....

    ReplyDelete