View My Stats

Friday 8 November 2013

Sabah - Negeri Dibawah Bayu - Hari Kedua

Hari Kedua - 25.10.2013 (Jumaat)
Semua peserta bangun seawal jam 5.00 pagi untuk sembahyang subuh dan kemas diri. Sarapan pagi ringkas telah disediakan oleh En. Fauzi, tuan rumah yang kami menumpang tidur. Kami semua merasa amat berterima kasih di atas layanan beliau sekeluarga yang begitu mesra semasa kami menumpang tidur. Sebelum meninggalkan rumah tersebut, kami sempat bergambar kenangan di hadapan rumah En. Fauzi.

En. Sham, pemandu AADK Negeri Sabah datang jemput kami di rumah En, Fauzi pada jam 8.00 pagi. Selepas memasukkan semua barang dalam kenderaan, kami singgah sarapan pagi di restoran Anjung Bistari Pekan Papar, Sabah. Kami sempat mencuba kuih tradisional yang terkenal di Papar iaitu kuih londes. Kuih yang diperbuat dari pulut dengan isi gula melaka. Kuih ini dibungkus didalam daun pisang.

Selesai bersarapan di pekan Papar, jam 9.30 pagi kami meneruskan perjalanan ke Kinabalu Park. Jarak Kinabalu park dari Kota Kinabalu ialah lebih kurang 110 km dan akan mengambil masa lebih kurang 3 jam. Dalam perjalanan ke Kinabalu Park, kami singgah di Pekan Tamparuli untuk berjumpa dengan En. Joannes, pegawai penyelaras program AADK Negeri Sabah. Sempat juga peserta bergambar di atas jambatan gantung Tamparuli dalam keadaan hujan yang renyai.

Dari pekan Tamparuli, perjalanan diteruskan untuk ke Kinabalu Park dan akan memasuki jalan di jajaran Banjaran Kroker. Jalan yang agak tinggi dan seolah-olah jalan yang hendak pergi ke Cameron Highlands. Jam 2.00 petang, kami semua selamat tiba di Kinabalu Park. Saya terus ke pejabat Sutera Santuary Lodges untuk lapor diri. Hujan agak lebat menyambut ketibaan kami di Kinabalu Park.

Selepas lapor diri, kami semua pergi ke pekan Ranau, Sabah. Jarak Kinabalu Park ke pekan Ranau ialah kira-kira 22 Km. Kami sempat singgah di tepi jalan pekan Kundasang untuk membeli buah. Terdapat banyak gerai yang menjual sayur segar disini. Kami sempat juga bergambar dengan puncak gunung Kinabalu yang tiba-tiba muncul dari kabus yang tebal.

Di pekan Ranau, kami makan di Mama Kopitiam. Macam-macam makan yang terdapat di kopitiam ini. Selepas makan kami membeli sedikit barang keperluan di supermarket yang terdapat di pekan Ranau.

Selepas selesai urusan di pekan Ranau, kami berpatah balik ke Kinabalu Park dan sampai di sana pada jam 4.00 petang. Hujan turun dengan lebat setiba kami di sana. Terdapat ramai pendaki mula sampai dan melaporkan diri bersama-sama dengan kami. Selepas selesai urusan bayaran deposit penginapan, bayaran GUIDE dan bayaran pengangkutan untuk ke Timpohon, kami diberi penginapan di Neptenhnes Lodges 5 dan 6, Kinabalu Park. 

Selepas masuk ke penginapan untuk letak barang, kami bersalam dengan kakitangan AADK Negeri Sabah yang akan bertolak balik ke Kota Kinabalu dan akan datang jemput kami balik pada hari Ahad nanti. 

Selepas bersalaman, kami mula kemas diri dan kemas barang di penginapan yang telah disediakan dan bermulalah pakej pendakian yang kami bayar kepada pihak Suitera Santuary Lodges. Penginapan kami begitu selesa sekali. Untuk setiap unit boleh menempatkan 4 orang peserta dan kami minta extra bed untuk 2 buah penginapan tersebut bagi menempatkan 10 orang peserta. Terdapat kemudahan yang begitu selesa seperti bilik tidur, bilik air yang dilengkapi dengan air panas, ruang tamu yang ada ASTRO dan dapur dengan kemudahan untuk memasak dan membuat air minuman.

Selepas semua peserta kemas diri, kenderaan datang jemput kami dari penginapan untuk makan malam di Balsam Cafe, Kinabalu Park pada jam 7.00 malam. Hujan masih lagi turun dan keadaan yang sejuk menyelubungi semua peserta. Suhu pada ketika ini ialah 16 darjah celcius. Sampai di Balsam cafe, kami pun makan malam. Pelbagai jenis hidangan disajikan kepada semua peserta. Terdapat ramai juga peserta dari negara luar sedang menikmati makan malam bersama kami.
Selepas makan malam, semua peserta balik ke penginapan untuk rehat dan tidur bagi memulakan pendakian Gunung Kinabalu pada esok hari. Tamat program pada hari kedua. (akan bersambung dengan pengalaman pendakian gunung Kinbalu, Sabah)

No comments:

Post a Comment