View My Stats

Monday, 24 June 2013

Pendakian Gunung Tebu, Besut, Terengganu

Pendakian Gunung Tebu, Besut, Terengganu
22.6.2013 (Sabtu)
Unit Kembara Alam, Kelab Kebajikan dan Sukan AADK 

Aktiviti unit Kembara Alam, Kelab Kebajikan dan Sukan AADK kembali lagi.  Program pada kali ini ialah Pendakian menawan puncak Gunung Tebu, Besut, Terengganu. Seramai 19 orang peserta (14 lelaki, 5 wanita) mengambil bahagian pada program ini. Program pendakian ini semakin mendapat sambutan dari warga kerja AADK untuk bersama-sama menghargai keindahan dan kedamaian alam semulajadi.

Gunung Tebu terletak di daerah Besut, Terengganu. Gunung ini mempunyai ketinggian 3,408 kaki atau 1,039 meter dari aras laut. Di kaki gunung Tebu terdapat air terjun yang cantik dan dikenali sebagai Hutan Lipur Lata Belatan. Ramai orang awam yang datang berkunjung ke Hutan Lipur Lata Belatan untuk mandi air terjun dan beriadah bersama kawan-kawan dan keluarga.

Untuk mendaki gunung Tebu hendaklah mendapat kebenaran dari Pejabat Perhutanan Negeri Terengganu. Saya telah membuat surat permohonan 3 minggu sebelum tarikh pendakian dan pejabat Perhutanan Negeri Terengganu telah membalas balik surat dan memberi kebenaran untuk aktiviti pendakian. Bayaran permit adalah sebanyak RM5.00 seorang dan boleh bayar di pejabat renjer Hutan Lipur Lata Belantan.
Alamat : Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Tingkat 8, Wisma Negeri, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu. Nombor telefon : 09-6222444 sambungan 6808. Talian terus : 09-6221587. Boleh call mereka untuk pertanyaan lanjut...Boleh tanya mereka juga untuk perkhidmatan GUIDE Gunung Tebu, nanti mereka akan bagi contact number GUIDE..harga GUIDE tu nanti boleh bincang dengan GUIDE.
Semua peserta bertolak dari ibu pejabat pada petang hari Jumaat (21.6.2013) dan tiba di Hutan Lipur Lata Belatan pada jam 2.30 pagi, hari Sabtu pagi (22.6.2013). Sementara menunggu waktu pagi, semua peserta tidur secara terbuka di dewan serbaguna Hutan Lipur Lata Belatan.

Terdapat banyak kemudahan yang terdapat di Hutan Lipur Ulu Belatan seperti tapak perkhemahan, dewan terbuka, surau, tandas, gerai-gerai menjual makanan, tempat parking kenderaan dan lain-lain untuk kemudahan orang ramai. Pejabat Renjer juga ada di kawasan ini. Dikawasan ini juga terdapat chalet yang boleh disewa dari Renjer Hutan Lipur Ulu Belatan.
Image result for chalet di lata belatan
Image result for surau di lata belatan

Semua peserta bangun pada jam 6.00 pagi untuk sembahyang subuh dan kemas diri. Selepas itu pada jam 7.00 pagi semua peserta bersarapan pagi di gerai Mek dimana tempahan awal telah dibuat bagi melicinkan program. Gerai Mek tersebut terletak di dalam kawasan Hutan Lipur Lata Belatan. Nasi bungkus juga telah ditempah untuk dibawa makan di puncak gunung Tebu.

Image result for gerai di lata belatan

22.6.2013 (Sabtu), jam 8.00 pagi, taklimat ringkas, senaman ringan dan bacaan doa telah diadakan sebelum memulakan pendakian. Pendakian pada kali ini akan diketuai (GUIDE) oleh Abd. Najib Bin Abdul Rahman (Jungle Boy AADK). Disebabkan kami pernah mendaki gunung Tebu so GUIDE adalah dikalangan kami sendiri. Program ini dijalankan secara DAYPACK iaitu mendaki naik dan turun pada hari yang sama.

Pendakian Gunung Tebu bermula pada jam 8.15 pagi dari starting point air terjun Lata Belatan. Trek pendakian ialah sejauh 7.088 km dari starting point ke puncak Gunung Tebu. Dari permulaan trek semua pendaki akan melalui laluan air terjun yang sejuk dan cantik. Sungguh indah permandangan air terjun dengan bunyi deruan air yang begitu mengasyikkan.


Check point pertama ialah Sungai Chakah 2. Trek dari permulaan agak landai dan sedikit meninggi. Dari check point satu, perjalanan diterukan sehingga ke check point ke 2 yang dikenali sebagai Batu Mat Hassan. Dari permulaan hingga ke check point Batu Mat Hassan peserta telah mendaki sejauh 4.106 Km.

Bermula dari check point Batu Mat Hassan, trek pendakian mula mencanak tinggi dengan kecerunan 70 hingga 80 darjah ketinggian dan betul-betul menguji ketahanan mental dan fizikal pendaki. Pendakian diteruskan sehingga ke check point ke 3 yang dikenali sebagai Jendela Pandang.


Dari Jendela Pandang trek pendakian masih meninggi dan pendaki akan berjumpa pula check point LWP (Last Water Point). Dari LWP jarak yang tinggal untuk sampai ke puncak ialah lebih kurang 2km dengan trek pendakian yang terus mencanak hingga ke puncak.

Akhirnya semua peserta berjaya sampai ke puncak Gunung Tebu pada jam 12.15 tengahari iaitu kira-kira 4 jam pendakian dari jangkaan masa 5-6 jam. Peserta terakhir yang sampai ialah pada jam 1.00 petang dan masih melebihi dari jangkaan masa bergerak dalam kumpulan yang besar.

Sampai di puncak semua peserta makan tengahari nasi bungkus dan ada juga peserta yang memasak maggi (makanan paling best kat mana-mana puncak gunung). Selepas makan dan bergambar kenang-kenangan, peserta pergi ke puncak yang lain bagi melihat batu bersurat dan tempat pertapaan persatuan silat.

 Terdapat kumpulan pendakian yang lain berkhemah dipuncak 2 dan mereka akan bermalam di situ. Dari puncak ke 2, permandangan Laut Cina Selatan tidak dapat dilihat kerana keadaan puncak yang agak sejuk dan berkabus.  

 Pendakian turun dari puncak Gunung Tebu bermula jam 3.00 petang. Ada peserta yang tiba seawal jam 6.00 petang dari terus kemas diri. Peserta terakhir yang sampai di kaki gunung Tebu ialah pada jam 7.00 petang dan ada peserta yang singgah mandi air terjun kerana airnya yang jernih dan segar. Sungguh sejuk dan terasa segar bila dapat mandi air terjun tersebut.

Secara kesimpulannya, perasaan yang amat bangga melihat ketabahan dan semangat pendaki AADK untuk menakluk puncak Gunung Tebu. Perjalanan sejauh 14.2 Km pergi dan balik dalam program daypack dan mengambil masa lebih kurang 9 jam amat menguji ketahanan mental dan fizikal peserta. Kerjasama kumpulan juga amat tinggi dimana jika ada peserta yang mengalami sedikit kekejangan otot, peserta yang lain akan tunggu peserta tersebut dengan memberi perangsang dan motivasi untuk meneruskan perjalanan sehingga ke puncak…TAHNIAH semua..anda telah berjaya mengukir nama AADK di puncak Gunung Tebu…

Program Kembara Alam AADK akan berhenti rehat dan akan bersambung selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti. Nantikan program pendakian yang akan datang iaitu Program Pendakian Gunung Mat Cincang (2,339 kaki @ 713 meter), Pulau Langkawi Kedah yang akan diadakan pada 27.9.2013 (Jumaat) hingga 29.9.2013 (Ahad).


KEMBARA ALAM AADK
"NIKMATI ANUGERAH ALAM"

11 comments:

  1. Berapa jam mendaki dan turun gunung tebu ini ya? Boleh buat 1day trip ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh buat 1day trip untuk hiking gunung tebu...naik dalam 4-5 jam turun dalam 3-4 jam....kalau boleh naik pagi2 kay...

      Delete
  2. kene mintak kebenaran dgn pegawai hutan daerah tu kene mintak dkt mane eh?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena tulis surat dan dapatkan kebenaran dengan Pejabat Hutan Daerah Terengganu Utara untuk mendaki Gunung Tebu

      Tel. Pejabat : 09-6667473 / 09-6672834. No. Faks : 09-6667061.

      Delete
  3. Bangga & gembira bila nampak tali2 utk mendaki & cross sungai masih teguh disana.. sy bersama kumpulan dari PETRONAS Kerteh & Jabatan Hutan Terengganu bersama2 pikul tali dari bawah and memasang nya pada tahun 2011. Semasa turun puncak kami mengutip & pikul sampah sampai ke bawah pula.

    ReplyDelete
  4. boleh saya tahu, ada bayaran ke untuk daki di Gunung Tebu ni?
    kalau ada , berapa ya?
    dan berapa bayaran untuk tour guide ?

    ReplyDelete