Sumbangan : En. Maswadi Idris dan En. Hafiz Bin Hassan (AADK Daerah Kuala Terengganu)
CANDAT PERDANA WARGA AADK 2013
Sewal jam 11.00 malam 13 Jun 2013, AADK Daerah
Kuala Terengganu berbesar hati menerima kehadiran para peserta Program Candat
Sotong Perdana Warga AADK di Penginapan Atikah, Batu Buruk, Terengganu.
Keselesaan menjadi kepentingan dalam memastikan warga dapat bermalam dan
berehat secukupnya bagi mengembalikan tenaga dalam menjayakan misi kali ini. Penginapan
ini ditaja sepenuhnya oleh Tn Hj Mohd Noor, salah seorang ahli JKPD yang aktif
disini.
Keesokkannya, majlis pendaftaran berlangsung
sedari jam 9.00 pagi dan program kali ini berjaya menarik penyertaan seramai 50
orang warga yang terdiri daripada
03
orang peserta dari Ibu Pejabat AADK Malaysia, 09 orang peserta dari CnC Tampoi,
10 orang peserta dari CnC Karangan, 06 orang peserta dari AADK Rompin, 08 orang
peserta dari CCRC Raub, 05 orang peserta CnC Jerantut dan 05 orang dari pihak
tuan rumah. Warga juga disajikan dengan makanan terkenal Negeri Terengganu
iaitu Nasi Dagang.
Majlis perasmian dimulakan pada pukul 4.00 petang
dan dirasmikan oleh En. Arzmi bin Abdullah selaku Pengerusi Kelab Sukan &
Kebajikan AADK Negeri Terengganu. Selepas mengaminkan doa, kami bergerak menuju
ke bot mengikut kumpulan masing-masing iaitu Kurita, Torak, Jarum, Mabang dan
Ketupat bersempena dengan nama spesis sotong yang ada.
Cuaca yang redup dan baik membuatkan kami lebih
bersemangat. Dengan lafaz bismillah, kami menaiki bot dan memulakan perjalanan
dengan seribu harapan. Laut yang tenang
pada awalnya membuatkan kami agak selesa, namun dipertegahan, perut mula
bergelora. Ada diantara kami yang sudah mula pening dan episod muntah-muntah
pun bermula…
Tiba di perairan Pulau Kapas, kami memulakan misi
yang ada. Sauh dilabuhkan, peralatan candat dipersiapkan sebaiknya. Candat dilemparkan
dengan diiringi doa, semoga mendapat sotong yang banyak. Sedari petang hingga
ke malam, kami berusaha tanpa berputus asa. Namun, kuasa Allah mengatasi
segalaya. Arus yang terlalu laju menyebabkan batu candat kami timbul
dipermukaan.
Ini menyukarkan kami untuk memperolehi sotong.
Dengan kudrat yang masih bersisa, kami masih tidak berputus asa. Cubaan demi
cubaan akhirnya membuahkan hasil. Ada diantara kami berjaya menaikkan sotong
dan ada juga yang berjaya menaikkan Ikan Kaci seberat 3kg. Pada pukul 8 malam,
kelihatan bot Mabang sudah mengubah kedudukan. Pergi ke tempat yang dipercayai
mempunyai lebih banyak sotong. Manakala peserta-peserta lain sudah mula dibuai
mimpi akibat dari keletihan.
Pagi 15 Jun 2013, kami bertolak pulang ke daratan.
Walaupun hasil yang diperolehi tidak sepertimana yang diharapkan, kami tetap
pulang dengan pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan duit. Cubaan kami kali
ini akan kami jadikan pengajaran untuk masa akan datang. Namun, apa yang paling
penting, program sebegini mampu mengeratkan kami, warga AADK Malaysia. Dan
semoga lebih banyak program sebegini dianjurkan bagi membina kerjasama yang
utuh dalam menyatupadukan warga pada masa akan datang.