View My Stats

Wednesday 16 July 2014

Air Asia - Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik - Skytrax

Bernama, 16 Julai, 2014.AirAsia dinamakan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia dan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia untuk enam tahun berturut-turut oleh Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax.
Syarikat penerbangan itu menerima anugerah tersebut di Farnborough International Airshow di London semalam. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata ia satu penghormatan besar untuk diperakui sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia untuk enam tahun berturut-turut.
"Semuanya bermula dengan impian 12 tahun lalu. Daripada dua buah pesawat dan enam laluan pada 2002, kami berkembang dan mengendalikan lebih 160 pesawat, membuat penerbangan ke 95 destinasi dan membawa lebih 250 juta penumpang," katanya dalam kenyataan media.
Fernandes berkata, AirAsia berbangga untuk mengumumkan kemunculan semula dalam pasaran syarikat penerbangan tambah rendah di Jepun pada tahun ini dengan pelabur dan rakan kongsi baharu. "Kami akan muncul semula dengan strategi dan pelan perniagaan yang lebih baik dalam usaha kami merevolusikan segmen syarikat penerbangan tambang rendah Jepun," katanya.
Beliau berkata, syarikat penerbangan itu juga gembira dengan pelancaran besar-besaran AirAsia India, syarikat sekutu terbaharu yang komited untuk meneroka secara inovatif pasaran penerbangan India dan menjadi pilihan jelas bagi perjalanan kos rendah di negara itu melalui tambang rendah serta pilihan produk dan perkhidmatan yang sukar ditandingi.
Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax merupakan penanda aras global bagi kecemerlangan syarikat penerbangan dan satu daripada anugerah paling berprestij bagi industri penerbangan. Kaji selidik dunia tahunan dilaksanakan sepanjang tempoh 10 bulan merangkumi lebih 245 syarikat penerbangan daripada syarikat penerbangan antarabangsa yang terbesar hingga syarikat penerbangan domestik yang kecil. Sejumlah 18.9 juta pelanggan mengambil bahagian dalam kaji selidik itu mengukur standard meliputi 41 petunjuk prestasi utama produk dan perkhidmatan barisan hadapan sesebuah syarikat penerbangan. 

No comments:

Post a Comment