View My Stats

Wednesday 12 February 2014

Kebaikan Beras Perang

Terdapat dua jenis beras iaitu beras putih dan beras perang. Kebiasaanya, nasi putih dimasak menggunakan beras putih. Hal ini kerana beras putih lebih lembut dan cepat dimasak Bagaimanapun jika nasi dimasak menggunakan beras perang, lebih banyak zat akan diperolehi.

Jika dilihat dari segi luaran, beras perang sama saja dengan beras biasa, tetapi apa yang membezakannya adalah beras perang tidak dibuang selaput kulit yang meliputi beras itu. Oleh sebab itu, kebanyakan anda lebih menyukai beras biasa kerana ia lembut dan cepat dimasak, berbanding beras perang yang mempunyai tekstur agak kasar. 
Ia dinamakan beras perang kerana beras terbabit belum ditapis dan diproses seperti beras putih yang sudah diproses dan dibuang kulitnya. Bahagian yang dibuang itulah terkandung pelbagai nutrisi yang sememangnya diperlukan badan. Ini termasuk serat, protein, magnesium, manganese dan zink iaitu antara nutrisi yang terbuang semasa proses penapisan. 

Beras perang membuat anda berasa lebih cepat kenyang dan membantu untuk mengambil makanan dengan jumlah yang kecil. Ini dapat membantu proses berdiet kerana kandungan serat yang terkandung di dalamnya membuatkan proses penghadaman menjadi lebih mudah. 

Bagi penghidap kencing manis, beras perang sememangnya menu terbaik bagi menggantikan beras putih yang sentiasa menjadi sajian anda. Ini kerana beras perang dapat membantu menstabilkan kandungan gula dalam darah. Ia membebaskan gula secara perlahan berbanding beras putih. 

Malah, kandungan serat yang tinggi dapat membantu mencegah penyakit kanser usus, dan juga dapat menyah bahan yang tidak diperlukan dan toksin daripada melekat pada usus.  Oleh itu, jika anda ingin menjaga kesihatan anda atau keluarga anda, amalkan pengambilan beras perang dalam menu seharian anda.

No comments:

Post a Comment