View My Stats

Wednesday, 9 October 2013

Festival Perkhemahan Antarabangsa Di China

Jika anda gemar berkhemah anda mungkin mahu menyertai Festival Perkhemahan Antarabangsa yang diadakan di Gunung Wugongshan, Provinsi Jiangsu China. Festival tahun ini dihadiri 15 000 orang yang berkhemah selama 2 hari  untuk menikmati pemandangan indah dan udara yang segar di samping kenal mengenali antara satu sama lain. Festival ini telah diadakan pada pertengahan bulan September 2013 dan telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari peserta seluruh dunia...best gak  yer...


Laporan asal Amusing Planet

Tuesday, 8 October 2013

Rumah Moden Di Janda Baik, Pahang

Deck House ialah sebuah rumah dua setengah tingkat moden yang terletak di Janda Baik Pahang. Rumah dengan keluasan 3980 kaki persegi ini mempunyai 3 bilik tidur dan 3 tandas. Bagi menikmati pemandangan hutan yang menyegarkan dinding rumah ini dibina sepenuhnya menggunakan cermin kaca. Siapa sangka ada rumah secantik ini di Janda Baik, Pahang

Laporan asal ArchDaily, sumber : penpatah.blogspot

Monday, 7 October 2013

Superbike Berkuasa Elektrik Pertama Di Dunia

Pada harga US$23,000 (RM69,000), Energica Ego mungkin tidak semurah seperti yang dijangka tetapi apa yang pasti, motorsikal ini merupakan motorsikal berkuasa tinggi berkuasa elektrik pertama yang diberi kelulusan undang-undang untuk berada di jalan raya. Dengan berat sebanyak 580 paun dan bergerak dengan menggunakan motor elektrik 'synchronous' dengan magnet kekal, minyak penyejuk dan 100kW kuasa/195Nm tork yang memberi kuasa kepada motorsikal ini untuk bergerak selaju 130 mph (208 km/j).

Motorsikal berkuasa tinggi ini juga turut dilengkapi dengan Vehicle Control Unit (VCU) dan sistem peta pelbagai fungsi yang inovatif untuk pengurusan tenaga. Brek disediakan oleh Brembo, dengan Bosch mengendalikan sistem ABS. Energica Ego juga turut mempunyai sistem mengecas bateri 110-220 V dengan kabel pada punca elektrik.


Sumber : Penpatah.blogspot.com

Friday, 4 October 2013

Khasiat Memakan Timun

Timun barangkali adalah antara tanaman yang paling banyak ditanam di seluruh dunia, mudah ditanam malah adalah antara sayuran yang sering diambil di kalangan rakyat Malaysia sebagai menu sampingan bersama Nasi Lemak serta ulaman dicicah dengan sambal belacan. 

Tetapi selain dijadikan sebagai makanan sampingan, tahukah anda bahawa timun merupakan makanan berkuasa dan sangat baik untuk kesihatan anda? Lupakan snek ringan dan cip kentang, mulai hari ini sila jadikan timun sebagai 'snek' utama anda. Berikut adalah 14 sebab mengapa anda perlu mengamalkan memakan timun! 

1. Timun menghidrat tubuh anda
Sekiranya anda terlalu sibuk untuk minum air secukupnya, anda boleh terus memakan timun yang sejuk ini kerana ia mengandungi 90 peratus air. Ianya dengan mudah dapat mengimbangi kandungan air yang kurang dari tubuh anda. 

2. Timun dapat melawan suhu panas 
Memakan timun dapat melegakan pedih hulu hati dan melegakan tubuh dek deman panas. Selain itu juga, sekiranya tubuh anda mengalami selaran matahari, anda boleh meletakkan timun yang dikisar lalu disejukkan ke tubuh anda kerana ia dapat melegakan kepedihan akibat panahan matahari itu. 

3. Timun dapat menyingkirkan toksin
Kandungan air yang terdapat dalam timun bertindak sebagai 'penyapu virtual', yang akan membersihkan kesemua sisa buangan yang terdapat dalam tubuh anda. Dengan amalan memakan timun yang kerap, timun sekaligus dapat melarutkan batu karang. 

4. Timun sebagai sumber vitamin harian
Timun mengandungi hamper kesemua jenis vitamin yang diperlukan oleh tubuh dalam sehari iaitu vitamin A, B dan C yang menggalakkan sistem imunisasi agar anda lebih bertenaga dan berseri-seri. Jadikan ia lebih jus minuman lebih 'berkuasa' dengan mencampur timun, lobak merah dan daun bayam. Ianya juga elok untuk kulit anda kerana ianya mengandungi 12 persen vitamin C yang mana cukup untuk keperluan kulit dalam sehari. 

5. Timun membekal mineral kepada kulit
Timun merupakan sayuran yang sangat tinggi dengan Potasium, Magnesium dan Silikon. Sebab itulah penggunaan timun sangat banyak digunakan oleh kebanyakan pusat Spa. 

6. Membantu dalam penghadaman dan penurunan berat badan
Disebabkan kandungan air yang sangat tinggi dan kalori yang rendah, timun merupakan sumber ideal kepada mereka yang sedang dalam program menurunkan berta badan. Jadikan timun sebagai menu harian anda seperti sup timun atau salad. Malah anda boleh gantikan amalan mengunyah cip kentang anda dengan menjadikan timun sebagai snek wajib anda mulai hari ini. Variasikan cara pengambilannya, agar anda tidak bosan asalkan ia masih dalam nilai kalori yang anda perlukan dalam sehari. Selain itu, mengunyah timun juga merupakan salah satu senaman yang baik untuk rahang anda. Malah, timun juga kaya dengan serat yang sangat baik untuk sistem penghadaman. Pengambilan timun dalam kehidupan seharian disifatkan membantu merawat sembelit kronik. 

7. Menyegarkan mata
Mata letih, lingkaran hitam bawah mata? Letak saja timun bawah mata mesti elok lepas tu. Petua kecantikan seperti ini acapkali kita dengar dan bunyi agak klise, tetapi ia memang benar-benar berfungsi membantu mengurangkan lingkaran hitam bawah mata dan keletihan mata kerana sifat anti radang yang terdapat pada timun. 

8. Timun dapat melawan kanser
Timun diketahui sebagai sayuran yang mengandungi secoisolariciresinol, lariciresinol dan pinoresinol. Ketiga-tiga sebatian semulajadi ini mempunyai kaitan yang kuat sebagai lignan yang mampu mengurangkan risiko beberapa jenis kanser seperti kanser ovari, kanser payudara dan kanser prostat. 

9. Boleh merawat diabetis, mengurangkan kolestrol dan mengawal tekanan darah
Jus timun mengandungi sejenis hormone yang diperlukan oleh sel pankreas untuk menghasilkan insulin yang kebaikan kepada pesakit diabetis. Para penyelidik telah menemui sejenis kompaun (sebatian) yang digelar 'sterol' pada timun yang mana dapat menurunkan paras kolestrol. Timun juga kaya dengan serat, potassium dan magnesium. Ketiga-tiga nutrisi ini sangat efektif untuk menstabilkan tekanan darah. Sebab itu, timun sangat mujarab baik untuk merawat tekanan darah tinggi mahupun tekanan darah rendah. 

10. Melembutkan rambut dan kuku
Keajaibab mineral silica yang terdapat pada timun dapat menjadikan rambut dan kuku anda lebih lembut, bersinar dan kuat. Kandungan Sulfur dan Silika yang ada pada timun pula membantu meransangkan pertumbuhan rambut. 



11. Bertindak sebagai penyegar mulut
Jus timun dapat merawat dan menyegarkan penyakit gusi. Ambil beberapa hirisan timun dan tekan ia pada bahagian lelangit mulut anda menggunakan lidah selama setengah minit, fitokimia pada timun boleh membunuh bakteria pada mulut yang menyebabkan nafas berbau. 

12. Bermanfaat pada kesihatan sendi, melegakan artritis dan gout
Memandangkan timun merupakan sumber silica yang paling hebat, ia dapat meransang kesihatan sendi dengan menguatkan tisu-tisu penghubung. Apabila ia dicampurkan dengan jus lobak, ia dapat melegakan kesakitan arthritis dan gout dengan merendahkan paras asid uric. 

13. Melegakan migrain dan mabuk
Untuk mengelakkan pening kepala di pagi hari, migraine atau ingin menghilangkan mabuk (yang disebabkan pengambilan alkohol), anda bolehlah memakan beberapa hirisan timun sebelum tidur. Timun kaya dengan vitamin B, gula dan elektrolit untuk menambahkan nutrisi dan mengurangkan sakit kepala mahupun mabuk. 

14. Memastikan buah pinggang berada dalam keadaan baik
Timun mampu merendahkan paras asid uric dalam tubuh anda sekaligus mampu memastikan buah pinggang anda sentiasa berada dalam keadaan baik, selagi anda terus mengamalkan pengambilan timun dalam kehidupan seharian.

Thursday, 3 October 2013

Pendakian Gunung Mat Cincang, Pulau Langkawi, Kedah

Unit Kembara Alam, Kelab Kebajikan dan Sukan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), telah mengadakan program pendakian Gunung Mat Cincang, Pulau Langkawi, Kedah. Program ini telah diadakan pada 28.9.2013 (Sabtu) secara daypack (Mendaki naik dan turun pada hari yang sama)

Perjalanan dari Langkawi Baron Hotel ke Telaga Tujuh (starting point) memakan masa selama 30 minit. Kebetulan pada hari pendakian terdapat acara Langkawi Mountainbike International sedang berlangsung disepanjang laluan menuju ke Telaga Tujuh. Pelbagai negara yang mengambil bahagian dalam acara tersebut dan ianya merupakan kejohanan tahunan yang diadakan di Pulau Langkawi.

Gunung Mat Cincang mempunyai ketinggian 2,339 kaki atau 713 meter dari paras laut. Ianya merupakan banjaran gunung yang bersebelahan dengan puncak kereta kabel Langkawi. Untuk program pada kali ini seramai 6 orang pendaki yang akan mengambil bahagian dan diketuai (GUIDE) oleh En. Ismail iaitu Penolong Pegawai Antidadah S27, AADK Daerah Langkawi.

Bermula dari starting point iaitu Telaga Tujuh pada jam 9.30 pagi, pendaki terpaksa menaiki anak tangga sejauh 1 km sehingga bertemu dengan air terjun Telaga Tujuh. Anak tangga tersebut telah dibina oleh pejabat hutan daerah Langkawi untuk kemudahan orang ramai menikmati panorama alam dan mandi air terjun di Telaga Tujuh. Keseluruhan pendaki akan menaiki 638 anak tangga untuk tiba ke air terjun Telaga Tujuh dan akan mengambil masa 20 hingga 30 minit.


Sampai saja di anak tangga terakhir, pendaki akan berjumpa dengan air terjun Telaga tujuh. Dinamakan Telaga Tujuh kerana air terjun terbentuk daripada pecahan tujuh telaga semulajadi. Menurut legenda, tersebutlah cerita dewi-dewi yang gemar turun mandi-manda di Telaga Tujuh pada awal-awal pagi sebelum manusia menceroboh kolam mereka. Maka nyanyian merdu dan ketawa riang ria dewi-dewi yang menawan sering kedengaran menyelubung bukit dan hutan. Menurut empunya cerita barang siapa dapat melihat akan dewi–dewi itu, sesungguhnya diberkati kekayaan akan dia. Akan tetapi tidak ada seorang pun berjaya melihat akan makhluk tersebut, hanyalah keharuman bau-bauan serta wangi-wangian akar hutan yang menandakan akan kehadirannya. (Info daripada Taman Legenda Langkawi).

Permulaan trek pendakian Gunung Mat Cincang selepas menyeberangi air terjun Telaga Tujuh (Boleh nampak dengan jelas trek permulaan)

Sebaik sahaja sampai di Telaga Tujuh, pendaki akan melintasi air terjun tersebut dan akan memulakan pendakian melalui trek pendakian. Dari permulaan trek Telaga Tujuh, pendakian agak landai dan dalam masa 15 minit pendaki akan sampai di check point pertama (CP1) iaitu  Kem Saintis. Di sepanjang trek tersebut pendaki akan melalui aliran air terjun yang segar dan cantik di sepanjang pendakian. Terdapat tanda atau marking di sepanjang trek pendakian dan trek pendakian nampak dengan terang dan jelas.

Dari CP1 Kem Saintis, trek pendakian masih lagi landai dan agak sedikit meninggi. Dalam masa 15 minit pendaki akan sampai di check point kedua (CP2) iaitu Kem Mat Pauh. Semasa sampai di kem Mat Pauh, papan tanda check point tersebut agak terlindung kerana banyak pokok tumbang di sekitar kawasan tersebut. 

Seterusnya dari CP2 kem Mat Pauh, trek pendakian mula sedikit meninggi. Terdapat anak tangga dan jambatan yang dibina disepanjang trek bagi memudahkan pendaki. 30 minit pendakian, pendakian akan berjumpa pula dengan CP3 iaitu Kem Tok Ayah. Disetiap check point, pejabat hutan telah membina wakaf untuk pendaki berehat sebelum meneruskan pendakian.

Dari CP3 Kem Tok Ayah, pendakian di teruskan ke CP seterusnya iaitu Puncak Telaga Tujuh. Trek pendakian mula mencanak hingga mencapai 50 hingga 60 darjah kecerunan. Dalam masa 45 minit, pendaki akan tiba di CP4 iaitu puncak telaga tujuh. Dipercayai pada masa dahulu sumber air terjun Telaga Tujuh berpunca dari puncak ini, Namum kini punca sumber air tersebut telah tiada dan yang tinggal hanyalah kesan aliran air di kawasan itu.


dari CP4 Puncak Telaga Tujuh, terdapat papan tanda amaran iaitu untuk turun balik atau meneruskan pendakian ke puncak Gunung Mat Cincang. Ini kerana untuk meneruskan pendakian, pendaki hendaklah dipandu arah oleh GUIDE yang berpengalaman dan tahu seelok belok trek pendakian hingga ke puncak.


Bermula dari CP4 Puncak Telaga Tujuh hingga ke puncak gunung Mat Cincang, trek pendakian mula meninggi dan mencanak hingga mencapai 70 hingga 80 darjah kecerunan. Pendaki perlu berhati-hati dan mendaki dengan perlahan kerana disepanjang trek pendakian terdapat batu yang basah dan licin. Pendaki perlu melihat batu yang hendak di pijak kerana jika tersalah pijak akan menggelonsor jatuh kerana batunya yang amat licin. Terdapat tali yang dipasang untuk menyokong pendakian semasa mendaki di atas trek batu yang licin tadi.


Akhirnya setelah mendaki selama 1 jam 15 minit dari CP4 puncak Telaga Tujuh, kami selamat tiba di puncak Gunung Mat Cincang pada jam 1.00 petang iaitu kira-kira 3 jam setengah pendakian. Puncak gunung ini tidaklah luas, hanya boleh memuatkan lebih kurang 3 buah khemah sahaja. Dari puncak gunung Mat Cincang ini, pendaki dapat melihat permandangan pulau Langkawi sejauh mata memandang. Puncak kereta kabel Pulau Langkawi dapat dilihat dengan jelas dari puncak ini.

Setelah berehat dan bergambar kenang-kenangan, pendakian turun dari puncak bermula pada jam 1.15 petang. Kami semua selamat tiba di kaki anak tangga terakhir Telaga Tujuh pada jam 3.15 petang iaitu kira-kira 2 jam pendakian turun. Kami sempat singgah mandi air terjun Telaga Tujuh. Selepas kemas diri, kami singgah makan rojak di tepi pantai berdekatan dengan kawasan Telaga Tujuh tersebut.

Sesungguhnya untuk mendaki gunung Mat Cincang, pendaki perlu mendaki dengan penuh berhati-hati disebabkan trek pendakian yang berbatu dan licin terutamanya apabila hendak sampai di puncak. Jika tersalah pijak batu semasa mendaki, boleh mengakibatkan pendaki tersebut tercedera kerana akan jatuh menggelonsor ke dalam gaung. Sesungguhnya satu kepuasan kerana dapat menawan puncak gunung ini dengan pendakian sejauh 12 Km pergi dan balik, kerana pendaki terpaksa menempuh pelbagai halangan dan cabaran untuk sampai ke puncak kejayaan. Syabas kepada semua….jumpa lagi dalam program pendakian akan datang…..