View My Stats

Tuesday, 4 March 2014

Jalan-Jalan Ke Bandung - Hari Kedua

Hari Kedua - 27.2.2014 (Khamis)

Jam 7.00 pagi kami bersarapan di hotel. Menu sarapan agak simple iaitu ada nasi goreng, meehoon goreng, roti bakar, telur dadar serta air minuman dan lain-lain juadah.


Jam 8.30 pagi Pak Teddy datang jemput kami di hotel. Kami akan pergi ke Taman Kopo Indah untuk membeli kain sulam bandung. Perjalanan dari hotel ke Taman Kopo Indah  memakan masa selama 45 minit melalui lebuhraya Indonesia. Keluar saja dari lebuhraya dan masuk ke jalan biasa, keadaan jalan sudah macet, banyak sungguh kenderaan di atas jalanraya. Walaupun macet, kebanyakan pemandu di Bandung agak sabar dan bertimbangrasa walaupun sistem jalan disana agak mengelirukan bagi kita yang pertama kali sampai di Bandung. Rasanya tak sanggup saya memandu kenderaan di Bandung...huhuhu

Sampai saja di Taman Kopo Indah, kami masuk ke sebuah rumah yang dijadikan gudang kain sulam. Mak aii banyaknya kain, sampai rambang mata dibuatnya. Semakin lama kami disana, semakin ramai pelanggan yang datang untuk membeli belah, Yang bestnya semua pelanggan yang datang adalah rakyat Malaysia. Meriah sungguh suasana membeli belah, macam beli kain kat Jalan Tuanku Abdul Rahman la pulak.

Saya membeli lebih kurang 11 pasang kain sulam bandung. Cantik-cantik corak dia dengan design yang terbaru dan yang penting harganya amat berpatutan. Harga kain diantara RM25.00 hingga RM50.00 bergantung kepada corak dan kualiti kain dan ada yang lebih mahal.

Selepas itu perjalanan diteruskan ke Pekan Baru, Bandung. Dalam perjalanan kami singgah makan nasi padang di Restoran Simpang Raya. Wow banyaknya lauk dihidangkan kepada mereka yang hendak menjamu selera di restoran tersebut. Harga akan dikira jika kita ambil lauk tersebut. Jika kita tidak usik lauk itu, maka harga lauk tersebut tidak akan dikira. Antara jenis lauk ialah gulai ayam, ayam goreng berempah, paru lembu goreng, daging masak hitam, sayur dan yang paling sedap ialah sambal lada hijau. Habis 3 pinggan saya makan kerana sedap masakan dia...

Selesai menjamu selera kami menuju ke Pasar Pekan Baru atau Pasar Baru Trade Center. Wow pelbagai barangan yang dijual disini. Pasar Baru ini mempunyai 6 tingkat dan menjual pelbagai barangan seperti kain sulam, kasut, t-shirt, telekung, beg dan lain-lain. Terdapat banyak lot-lot kedai disini dan tempat ini agak luas, so kalau nak shopping semuanya ada kat sini. Ada juga kedai yang menerima duit Ringgit Malaysia (RM) untuk berurusniaga jika kita sudah hampir kehabisan rupiah. Pastikan tanya tuan kedai samada terima duit RM atau tidak. Disini juga terdapat perkhidmatan menjahit tempahan kot, baju kurung, baju melayu dan lain-lain dan tempahan tersebut boleh disiapkan dalam masa 1 hari atau 2 hari dan dihantar terus ke bilik hotel tempat kita menginap. Dari pemerhatian saya, harga barangan disini amat berpatutan dan rambang mata dibuatnya...pastikan ongkosnya ada yer...Ramai rakyat negara kita yang datang membeli belah disini

Penat membeli belah, saya pergi makan di food court yang terletak di aras 6, Pekan Baru Trade Center. Banyak gerai yang terdapat di sini dengan pelbagai masakan yang ada. Saya pesan nasi ayam penyek dan nasi bakar. Makanannya tidak menepati sangat citarasa saya tapi kira boleh makan juga la.....

Selepas membeli belah di Pekan Batu Trade Center, kami pergi ke Paris Van Java iaitu sebuah kompleks membeli belah yang terkenal di Bandung. Menurut Pak Teddy tempat ini selalunya dikunjungi oleh orang yang berada untuk lepak-lepak sambil membeli belah. Di kompleks ini terdapat pasaraya SOGO, Carefour, dan lain-lain untuk golongan berada untuk shopping dan bersantai. Pasaraya ini lebih kurang macam KLCC, atau Midvalley atau The Curve di Malaysia.

Selepas itu dalam perjalanan balik ke hotel penginapan, kami singgah di CiWalk atau Cihampelas Walk. Disepanjang CiWalk ini terdapat deretan kedai dan pasaraya yang menjual pelbagai barangan dengan harga yang berpatutan. Ada T-shirt, kasut, baju kulit, dompet duit dan lain-lain di jual disini. Kami singgah makan malam di CiWalk dan saya makan mee sup Bandung. 
Selesai makan dan jalan-jalan di CiWalk, kami pun balik ke hotel penginapan untuk berehat dan tidur. Tamat aktiviti untuk hari ke dua di Bandung

Monday, 3 March 2014

Jalan-Jalan ke Bandung - Hari Pertama

Hari Pertama - 26.2.2014 (Rabu) 

Sebenarnya dah lama saya merancang untuk ke Bandung, Indonesia setelah tertangguh banyak kali. Kebetulan Airasia ada membuat promosi Free Seat, so tiket dah booking lebih kurang 8 bulan yang lalu. Dapat harga tiket flight agak murah iaitu RM160.00 pergi dan balik untuk seorang. Saya pergi dengan mantan bos saya bersama keluarganya ( 5 orang peserta). Bekas bos saya ini sering datang ke Bandung.

Sebelum pergi saya dah tukar siap-siap duit RM ke duit Rupiah untuk berbelanja di sana. Semasa saya tukar 1 juta rupiah bersamaan dengan RM287.00. Jadi sifir mudah saya untuk convert duit nanti ialah 1,000,000 rupiah bahagi dengan RM287.00 = 3,484. So saya tukar dalam RM2,500.00 dan dapat lebih kurang 8,710,000.00 rupiah (Lapan juta tujuh ratus sepuluh ribu rupiah), dapat jugak jadi jutawan jap.....

Fligt saya QZ178 berlepas jam 3.00 petang dari LCCT, Sepang.  Semasa dalam kapal terbang, kabin krew akan mengedarkan borang kepada para penumpang iaitu borang ketibaan dan borang ikrar kastam negara Indonesia. Borang ini hendaklah diisi oleh penumpang yang ingin memasuki negara Indonesia dan menyerahkan borang tersebut bersama pasport semasa pemeriksaan Imigresen Indonesia di Lapangan terbang Bandung nanti. So kena ready pen untuk isi borang tu kay. Semasa dalam flight saya ada membuat tempahan makanan secara online iaitu nasi minyak Palembang. Best jugak nasi dia tu...Semasa dalam flight juga pengumuman tentang aspek keselamatan dibuat dalam bahasa Indonesia...hehe kencangkan sabuk pengaman anda atau maksudnya ketatkan tali keledar anda....

Kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Bandara Husein Sastranegara, Bandung pada jam 5.00 petang waktu Malaysia dan jam 4.00 petang waktu Indonesia (kira-kira 2 jam penerbangan dari LCCT ke Bandung, waktu Indonesia lewat 1 jam dari waktu Malaysia). Sampai saja di Bandung, kami telah disambut oleh Pak Teddy iaitu supir kami sepanjang berada di Bandung. Kami menggunakan perkhidmatan Pak Teddy bersama kenderaan untuk tujuan pengangkutan. Pak Teddy seorang yang peramah dan sering bercerita tentang perlancongan yang terdapat di Bandung. Kami membayar sebanyak 1.6 juta Rupiah (1.6 juta IR bahagi 3,484 = lebih kurang  RM460.00) untuk pengangkutan dan supir Pak Teddy selama 4 hari 3 malam semasa di sana, kira ok la tu..


Untuk memudahkan perhubungan di Indonesia, kami membeli Sim Kad yang dinamakan SIMPATI yang berharga RM10.00 (bayar dengan duit RM) dengan peniaga di luar lapangan terbang Bandung. Masuk saja Sim Kad dalam HP kita, so kita dapat contact terutamanya dengan supir bagi memudahkan urusan di Bandung. Kredit yang tersedia dalam sim kad tersebut ialah 30,000 rupiah iaitu lebih kurang RM10.00


Keluar aje dari lapangan terbang Bandung, kami terus ke jalan Riau. Disana terdapat banyak Factory Outlet yang menjual barang seperti pakaian, jeans, kasut, tali pinggang kulit dan lain-lain dengan harga yang berpatutan. 

Selepas itu kami membeli perfume yang terhasil dari campuran pati dan bahan kimia. Pelbagai wangian dan jenama yang terkenal seperti Dunhill, Hugo Boss, Chanel, dan lain-lain yang terdapat disitu dan apa lagi kami pun membeli lebih kurang 4 botol seorang. Ketahahan bau perfume ini adalah selama 5 hingga 7 jam. Harga perfume tu dalam 50,000 rupiah iaitu lebih kurang RM14.00 untuk 100ml.

Selesai membeli-belah kami pun singgah makan di warung yang terdapat di tepi jalan Riau. Kami semua sepakat untuk memesan Nasi Bakar Riau. Nasi dibungkus di dalam daun pisang dan dibakar hingga masak kemudian dihidangkan bersama ayam goreng yang panas dan ulam-ulaman. Berselera betul kami makan...sedap juga nasi tu. Harga nasi tersebut ialah 25,000 rupiah (RM7.00) dan teh panas ialah 7,000 rupiah (RM2.00). 

Selesai makan, jam menunjukkan pulul 8 malam waktu Bandung. Kami pun menuju ke hotel Amaris Cihampelas, Bandung. Hotel ini telah ditempah melalui Agoda.com iaitu RM110.00 untuk 1 malam termasuk sarapan pagi. Bilik hotelnya agak sederhana besar tetapi kira selesa berehat dan tidur. Plat elektrik untuk charge HP agak berlainan dengan plat yang terdapat di Malaysia, so dinasihatkan untuk membawa traveller adapter yang boleh dibeli di pusat membeli belah atau di kedai hardware di Malaysia. Lepas saja masuk bilik kami pun tidur kerana keletihan mengharungi jadual padat di Bandung ini. Tamat program pada hari pertama.

Tuesday, 25 February 2014

Jalan-Jalan Ke Bandung, Indonesia

Bercuti jap, Jalan-Jalan ke Bandung, Indonesia
26.2.2014 (Rabu) hingga 1.3.2014 (Sabtu)
Nanti saya akan update bila dah balik Malaysia nanti....