Perasmian Sukan Sea ke 29-KL2017-Terbaik

ATLET
terjun negara, Nur Dhabitah Sabri membakar obor ketika majlis pembukaan
Sukan SEA 2017 ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Asyraf
Hamzah
KUALA LUMPUR: 19 Ogos 2017 - Sabtu - Temasya Sukan SEA ke-29 dibuka secara rasminya dalam
satu majlis pembukaan penuh gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil,
sebentar tadi.
Perasmian temasya dwi tahunan yang bertemakan 'Bangkit Bersama' itu
berlangsung dengan penuh pertunjukan warna-warni yang menonjolkan
kepelbagaian budaya dan kesenian tempatan.
Elemen itu diangkat sebagai unsur utama sepanjang pertunjukan untuk
melengkapkan kemeriahan di venue serba moden yang baharu dinaik taraf.
Upacara bermula dengan persembahan muzik tujuh buah sekolah - Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Katolik, SMK Seafield, SMK Kepong, St John's
Institution, Chong Hua Independent, SMK Seri Kembangan dan Chong Hua
Jalan Gombak.

PERSEMBAHAN bunga api semasa majlis perasmian Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meneruskan upacara
pembukaan dengan nyanyian Lagu Negaraku serta upacara menaikkan bendera
Malaysia di dalam stadium yang dibanjiri lebih 80,000 penonton.
Upacara berwarna-warni itu menerapkan kebudayaan dan keunikan yang
ada di negara ini yang menjadi lambang kebanggaan kepada 32 juta
penduduk di negara ini.
Seterusnya, maskot rasmi 'Rimau' diperkenalkan sebelum diikuti
perarakan masuk 11 kontinjen negara bertanding yang membabitkan
kira-kira 6,000 peserta terdiri daripada atlet dan pegawai serta agensi
yang terbabit dalam persembahan.
Bermula dengan perarakan masuk kontinjen Brunei Darussalam, diikuti
Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste,
Myanmar, Vietnam dan diakhiri dengan perbarisan masuk barisan kontinjen
Malaysia yang diketuai Datuk Marina Chin.

KONTINJEN
Malaysia memasuki stadium dengan 3 atlet negara selaku pembawa bendera ,
Azizulhasni Awang, Cheong Jun Hoong dan AlJufri Jamari pada Majlis
perasmian Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukti Jalil. - Foto Osman
Adnan
Barisan atlet negara yang diketuai tiga pembawa Jalur Gemilang -
Azizulhasni Awang (berbasikal), Cheong Jun Hoong (terjun) dan Al Jufferi
Jamari (silat) kelihatan segak dan cantik mengenakan persalinan baju
kurung pesak serta baju Melayu moden yang direka khas.
Penyanyi Dayang Nurfaizah kemudian tampil untuk menyuntik semangat
atlet yang bertanding pada edisi ke-29 temasya dwitahunan ini dengan
nyanyian lagu tema KL2017, Bangkit Bersama.
Upacara perasmian kemudian meniti kemasyhuran silam apabila
bekas-bekas jaguh dan legenda sukan negara tampil di tengah-tengah
stadium, diikuti upacara menaikkan bendera Persekutuan Sukan Asia
Tenggara (SEAGF).
Selepas ucapan Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara, Tunku Imran
Tuanku Ja'afar, majlis dilengkapkan dengan pengumuman rasmi pembukaan
temasya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

YANG
di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyampaikan titah ucapan perasmian
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak;
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri
Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ia diteruskan dengan bacaan ikrar yang diketuai jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa.
Penonton di stadium berkapasiti 100,000 itu kemudian terpukau
menikmati persembahan pengkisahan muzikal dan kebudayaan penuh
warna-warni yang menceritakan kelahiran negara ini serta keunikan adat
tradisi masyarakat pelbagai kaumnya serta rakyat negara Asia Tenggara.

PERSEMBAHAN Maskot pada pembukaan Sukan SEA 2017 edisi ke-29 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Majlis pembukaan diakhiri dengan perarakan masuk obor kejohanan oleh
barisan atlet jaguh negara, diketuai sukan boling, diikuti berbasikal,
hoki, olahraga, badminton serta terjun sebelum obor kejohanan dinyalakan
oleh Nur Dhabitah Sabri sebagai simbolik bermula secara rasminya
temasya ini, sebelum persekitaran Stadium Nasional Bukit Jalil diterangi
dengan percikan bunga api.
Sukan SEA edisi ke-29 yang akan berlangsung sehingga 30 Ogos
menghimpunkan 4,900 atlet daripada 11 negara dengan Malaysia menyasarkan
pungutan 111 pingat emas daripada 398 acara yang disertai untuk muncul
juara keseluruhan.

PERCIKAN bunga api di Stadium National Bukit Jalil pada majlis pembukaan Sukan SEA 2017. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
petikan dari : https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2017/08/314594/perasmian-kl2017-penuh-tradisi-gilang-gemilang
No comments:
Post a Comment